KENYATAAN MEDIA
Y.B. DATO’ MANSOR BIN HJ. OTHMAN
TIMBALAN KETUA MENTERI (1) NEGERI PULAU PINANG
TOLAK POLITIK RASIS UMNO-BN
Dari isu "Kristian agama rasmi negara?" dan "1Melayu 1Bumi" hinggalah usaha memecah belah Pakatan Rakyat dengan meniupkan pelbagai isu rasis melalui akhbar Utusan Malaysia menggambarkan bahawa Umno, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri seakan tidak ada cara lain melainkan mengikut telunjuk Tun Dr Mahathir demi terus menguasai Putrajaya di pilihan raya umum ke-13 yang diramalkan paling awal pada Julai ini.
Formula terbaru Umno – iaitu menguasai 70 undi popular Melayu - ini mungkin setelah menyedari bahawa rata-rata masyarakat bukan Melayu, khususnya Cina telahpun memberi isyarat kepada mereka akan menolak Umno pada pilihan raya umum nanti.
"Sama ada kita, orang-orang Cina ada dalam kerajaan atau tidak, itu tidak penting (bagi kita)," kata Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) Ser Choon Ing pada The Malaysia Insider, 3 Mei lalu.
Ditambah dengan partisipasi langsung bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagaimana dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini iaitu, "PAS tidak perlu sertai Barisan Nasional, tetapi jika ia mahu menentang Umno, biarlah ia berada di luar Pakatan Rakyat," menggambarkan bahawa Barisan Nasional, khususnya Umno mungkin berdepan kemungkinan kalah lebih besar dengan "swing vote" atau "peralihan undi" Melayu pula kelak.
Pasukan Dr Mahathir mungkin mahu memetakan lanksap politik oposisi sebagaimana sebelum musim pilihan raya ke-10 (2004) dengan merekayasa media supaya memperlihatkan DAP sebagai "parti anti Melayu"; manakala PKR digambarkan bermasalah dengan pelbagai fitnah luar biasa; dan PAS pula ditajamkan keIslamannya supaya ditolak oleh rakyat bukan Islam dan bukan Melayu.
Kalau benar kemungkinan tersebut, apa yang ingin saya katakan di sini, Dr Mahathir sangat bimbang sekiranya berlaku "swing vote" Melayu antara 5 hingga 7 peratus; kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya 70 peratus undi popular di kalangan Melayu; dan ianya bukanlah mustahil berdasarkan rekod beberapa pilihan raya umum sebelum ini.
Kalau inilah ketakutan sebenar Dr Mahathir, saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa kebanyakan isu rasis yang ditiupkan di Pulau Pinang ini adalah kerana Umno sendiri takut kehilangan empat atau lima kerusi Adun yang kini disandang oleh Umno yang akan berpindah ke tangan Pakatan Rakyat, samaada PKR atau PAS.
Justeru, saya mewakili rakyat seluruh Pulau Pinang termasuk Melayu mempertahankan keharmonian rakyat dengan menolak politik rasis dan adu domba Umno Barisan Nasional di negeri ini.
DATO’ MANSOR HAJI OTHMAN
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
- Posted using BlogPress from my iPhone