KEPALA BATAS | Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang Dato' Mansor Othman hari ini menyampaikan bantuan kewangan oleh kerajaan negeri kepada 68 mangsa banjir kilat di Dun Pinang Tunggal yang kebanyakannya adalah Melayu.
Menurut Mansor, sumbangan yang diberikan adalah hasil kumpulan dana dari Pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng, bahagian penyelaras Dun Pinang Tunggal serta dari pejabatnya sendiri.
"Sebenarnya tiada terma bantuan langsung berkenaan bencana banjir kilat tetapi atas musibah yang melanda kita pada 3 April lalu di sini mendorong JKKK kita dengan kerjasama kerajaan negeri tunaikan tanggungjawab mereka membela rakyat.
"Memang kita (kerajaan negeri) nak bantu dan terima kasih kepada seluruh rakyat di sini kerana bersama-sama kita (kerajaan negeri Pulau Pinang) membangunkan kawasan pertanian di sini.
"Kerajaan negeri yang mahu terus mesra rakyat ini mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terbabit membuat laporan kerosakan sehingga bantuan bencana ini boleh disalurkan," ujarnya di Dewan Saga, di sini.
Dalam perkembangan yang lain, Mansor yang juga Adun Penanti mengajak rakyat khususnya warga emas supaya mendaftarkan diri sebagai penama untuk menerima bantuan daripada kerajaan negeri.
"InsyaAllah kerajaan negeri pada bulan lapan (iaitu) sebelum Hari Raya Puasa akan sekali lagi menyalurkan sumbangan kepada warga emas yang mendaftar.
"Di (Dun) Pinang Tunggal ini masih kecil bilangan warga emas yang berdaftar dan saya harap pendaftaran lebih agresif untuk mengurangkan beban hidup rakyat, termasuk orang-orang Melayu sendiri," ujarnya yang juga Naib Presiden PKR merangkap Ketua Perhubungan PKR Negeri.
Tambah Mansor lagi, kerajaan negeri sedang merancang untuk meluaskan pemberian bantuan kepada golongan ibu tunggal pula supaya kehidupan mereka terbabit senantiasa dibela.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pinang Tunggal, Mohamad Akhir bin Che Mat yang ditemui kemudian memberitahu bahawa 36 penerima sumbangan terbabit adalah mangsa projek mega landasan keretapi berkembar oleh kerajaan pusat, di sini.
"Kita melihat 36 keluarga ini layak menerima kerana hari tersebut hujan turun sangat lebat sehingga banjir kilat di rumah mereka yang kebetulan di sekitar kawasan landasan kereta api berkembar.
"Walau sumbangan ini tidak besar tapi dengan keprihatian kerajaan negeri turun padang dan lihat rakyat sudah cukup mengubat susah orang-orang Melayu kita ini," beliau menambah.
Turut hadir Pegawai Khas bagi Ketua Menteri, Anuar Hashim dan pemimpin tempatan serta PKR negeri. -END