Senator Datuk Mustafa Kamal bin Mohd Yusoff (dua dari kanan) dan Razali bin Abdullah (dua dari kiri) antara yang menyertai Mansor pada sidang akhbar di Komtar.
GEORGETOWN | Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap penyertaan 36 koperasi negeri dalam Festival Persahabatan, Expo Perdagangan dan Koperasi Pulau Pinang Peringkat Antarabangsa 2011 (PFFPITCE 2011) selama lima hari bermula 1 Jun mampu mencipta sekurang-kurangnya 5 koperasi Melayu-Bumiputera yang berjaya kelak, kata Timbalan Ketua Menteri (1) Dato’ Mansor Othman.
Bagi mencapai sasaran itu, beliau berkata festival terbesar Utara Semenanjung Malaysia itu yang beroperasi di perkarangan tapak letak kenderaan Queensbay Mall, di sini mensasarkan jualan kasar melebihi RM12.8 juta.
“Saya punya harapan adalah bagi tahun ini sekurang-kurang lima koperasi berjaya akan lahir hasil penganjuran pameran ini.”
“36 koperasi yang terlibat (dalam pameran ini), termasuk koperasi (berkaitan) ibu tunggal (dan) belia pun ada.
“Kerajaan negeri tetap meletakkan harapan yang tinggi kepada koperasi-koperasi di seluruh negeri ini supaya boleh menjadi enjin ekonomi yang baru bagi kerajaan negeri selain menjana ekonomi para penggiat koperasi yang majoritinya adalah Melayu-Bumiputera,” ujarnya tengahari tadi.
Tidak cukup dengan itu, Mansor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat mahu budaya menubuhkan koperasi sebagai sumber pendapatan alternatif diterapkan di kalangan usahawan Bumiputera.
“Saya mahu penubuhan koperasi ini menjadi budaya kita kerana ia boleh menjana pendapatan bagi para usahawan yang majoritinya adalah Melayu,” ujarnya sambil mengulangi cadangan untuk menubuhkan koperasi di peringkat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).
Wartawan yang hadir
Menurut beliau, festival kali ini disertai oleh lebih 220 pihak. 54 daripadanya terdiri oleh syarikat antarabangsa yang beroperasi di Thailand.
Turut serta dalam festival tersebut dua syarikat dari Palestin, dua syarikat dari Cina dan satu syarikat dari Singapura selain menerima partisipasi langsung daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kumpulan CiMB Islamik, Kumpulan Naza dan beberapa syarikat gergasi tempatan.
Husam Waksa Sdn Bhd merupakan penganjur utama festival tersebut di atas tapak seluas 6,400 meter persegi. Kanopi gergasi dan terbesar di Utara Semenanjung Malaysia merupakan salah satu struktur menarik di festival tersebut.
Di sepanjang festival tersebut, beliau berkata pengunjung berpeluang melihat sendiri pameran dan jualan produk oleh koperasi sendiri, pameran industri halal, pemaran mega dari Thailand dan pameran industri automotif serta ‘Biz Clinic’.
Yang diPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Abdul Rahman bin Haji Abbas dijadualkan melawat tapak festival dan menyempurnakan upacara perasmian pada 9 pagi esok manakala Mansor mewakili kerajaan negeri akan mempengerusikan Dialog Jaringan Koperasi Malaysia-Thailand pada jam 9 pagi hari berikutnya.
Timbalan Menteri Perdagangan Thailand, T.Y.T Alongkorn Poonlaboot turut dijadualkan menyempurnakan Sidang Kemuncak Lima Dasar Ke-2 pada hari kedua yang bertujuan meransang ekonomi di kedua-dua negara. Malaysia dianggotai oleh Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan. Manakala Thailand dianggotai oleh wilayah Yala Pattani, Narathiwat, Songkhla dan Satun.
Festival kali ini merupakan kesinambungan pada festival persahabatan Pulau Pinang-Thailand yang diadakan pertengahan Disember tahun lalu di Wilayah Satun, Thailand. -END