Monday, April 11, 2011
MANSOR BERI BANTUAN
PERMATANG PAUH – Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, semalam, menziarahi keluarga adik Mohd Irfan Abdul Rashid,5, yang maut dalam satu kebakaran di Kampung Permatang Nibong, dekat sini, 3 April lalu.
Mansor berkata, kunjungan dibuat bagi pihak Kerajaan Negeri dalam berkongsi kesedihan yang dialami.
Disamping itu menurutnya, bantuan segera turut disampikan bagi meringankan bebanan yang ditanggung selepas rumah mereka musnah sama sekali dalam kebakaran tersebut.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Abdul Rashid Ismail,31, dan isteri, Nor Amalina Mat Ariffin,25, yang kehilangan anak kedua dalam kebakaran tersebut.
“Pada kunjungan hari ini juga, bantuan segera berjumlah RM1,000 diberikan daripada Tabung Bencana Tuan Yang Terutama (TYT), serta sumbangan peribadi RM500 bagi meringankan bebanan mereka sekeluarga yang mengalami kerugian akibat dari kebakaran,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya turut menawarkan rumah kepada keluarga berkenaan samada di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Thamby Kecil, Butterworth atau PPR Desa Wawasan, Bukit Mertajam.
Katanya, tawaran itu disertakan dengan enam bulan sewa percuma jika mereka mahu mendiami rumah tersebut.
Dalam masa sama, Mansor berkata, pihaknya turut meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghantar kaunselor bagi memulihkan psikologi mereka, terutama si ibu yang trauma dengan insiden menyayat hati itu.
Terdahulu, Abdul Rashid dan Nor Amalina kehilangan anak lelaki berusi lima tahun selepas dia terperangkap di dalam rumah yang terbakar.
Kejadian berlaku kira-kira 11.55 pagi ketika mangsa, Mohd Irfan bermain seorang diri di bahagian atas rumah, sementara ibunya sedang memasak di dapur.
Mohd Irfan ditemui di atas katil sebuah bilik di tingkat bawah rumah dengan 70 peratus badannya rentung.