KENYATAAN AKHBAR TIMBALAN KETUA MENTERI 1 PULAU PINANG Y.B. DATO’ MANSOR BIN HJ. OTHMAN DI KOMTAR, GEORGE TOWN PADA 23.8.10
Siasatan Polis Boleh Dipercepatkan Atas Tuduhan UMNO Bahawa Ada Masjid Di Pulau Pinang Terlibat Dalam Isu “Guan Eng Gantikan Agong” Perlu Demi Mempertahankan Maruah Semua Imam/Khatib Dan Masjid Di Pulau Pinang.
Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap siasatan polis dipercepatkan atas tuduhan UMNO bahawa ada masjid di Pulau Pinang yang terlibat dalam isu “Guan Eng Gantikan Agong” amatlah perlu demi mempertahankan maruah semua imam/khatib dan masjid di Pulau Pinang.
Teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan negeri, JAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri.
Oleh itu sekiranya ada mana-mana imam/khatib yang menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama YDP Agong, ini adalah salah dan maka tindakan keras haruslah diambil. Sehingga sekarang tidak ada seorang imam/khatib mengaku ada menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama YDP Agong sepertimana yang didakwa oleh UMNO.
Malah seorang khatib/imam, Ustaz Zakaria Ahmad, menafikan tuduhan UMNO yang beliau terlibat dan menganggap tuduhan itu sebagai satu fitnah sama sekali. Sebenarnya, beliau hanya mendoakan Guan Eng diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam, di mana Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mendoakan agar orang bukan Islam diberi petunjuk dan hidayah Allah untuk memeluk Islam. Samada ini selaras dengan hukum Islam ataupun tidak, ianya harus diputuskan oleh para ulama dan pakar agama.
Isu “Guan Eng gantikan Agong” yang dibangkitkan oleh UMNO perlu diputuskan kesahihannya samada benar atau tidak. Ini kerana beberapa masjid di Pulau Pinang berasa gelisah selepas dilandai fitnah UMNO mengatakan mereka terlibat dalam isu menggantikan nama DYMM YDP Agong dengan nama Ketua Menteri. Oleh yang demikian siasatan polis diharap dapat disiapkan dengan segera supaya perkara yang begitu sensitif ini boleh diselesaikan dalam bulan Ramadan yang mulia ini sekaligus boleh mempertahankan maruah imam/khatib dan masjid seluruh Pulau Pinang.
Kerajaan negeri rasa kesal bahawa UMNO telah mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang mulia ini dengan tuduhan-tuduhan melulu dan melemparkan fitnah ke atas Kerajaan negeri Pulau Pinang. Sehingga sekarang UMNO tidak dapat menunjukkan bukti JAIPP sediakan teks khutbah yang menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong ataupun menunjukkan di mana kerajaan negeri, JAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada masjid atau surau untuk menggunakan nama Ketua Menteri.
Adalah tidak adil dan patut bahawa sekarang ini masjid dan imam/khatib diheret dalam kacah permainan jahat UMNO semata-mata untuk memenuhi kegairahan politik UMNO untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri PR.
Saya ingin mengulangi isi kandungan usul bersama pada mesyuarat tergempar PR Pulau Pinang semalam yang menyeru rakyat dan penyokong PR bersikap tenang dan tidak masuk perangkap UMNO. Ini adalah kerana UMNO cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada beberapa kejayaan program kerajaan negeri seperti memberikan kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri; pemberian tahunan RM 100 wang penghargaan warga emas; menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 ; Sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR); serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar.
Y.B. Dato’ Mansor bin Hj. Othman
Timbalan Ketua Menteri 1