Pages

Thursday, August 12, 2010

PERUTUSAN RAMADAN Y.B. TKM 1

Marhaban ya Syahra Ramadan, Marhaban Syahra’ Shiyami
Marhaban ya Syahra Ramadan, Marhaban Syahra’l Qiyami

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa puji dan syukur yang tidak terhingga banyaknya kepada ALLAH yang telah memanjangkan umur kita sehingga kita dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadan. Ini seperti mana dalam doa yang sering kita ungkapkan: “Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan”

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat syaitan. Di bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.” (Hadis riwayat Ahmad dan An-nasai)

Hadith di atas merupakan satu seruan kepada kita umat Islam untuk mengejar dan merebut ganjaran daripada Allah SWT. Marilah kita memasuki Madrasah Ramadan dengan niat yang tulus suci agar kita dapat menempuh bulan Ramadan dengan melakukan kebaikan dan dalam masa yang sama menunaikan tanggungjawab sebagai muslim dengan sempurna. Ramadan juga perlu dijadikan pemangkin untuk kita terus komited memperjuangkan kebenaran dan keadilan yang menjadi tuntutan kepada kita sebagai muslim. Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan kali ini jauh lebih bermakna daripada Ramadan yang telah berlalu. Akhir sekali marilah kita merenungi syair yang dikarang oleh Imam as-Sayuthi rahimahullahu taála dalam Kitab al-Izdihar yang bermaksud:

“Ingatlah bulan puasa akan selesai
Adakah di antara kalian yang bertaubat ketika akan berpisah dengannya?
Adakah di antara kalian yang sedih kerana berpisah dengannya?
Dan menyesali kekurangan puasa dan solat malamnya?
Wahai kaum,
Janganlah kalian lalai untuk mengeluarkan kewajiban
Keluarkanlah zakat fitrah ketika Ramadhan telah selesai
Tidaklah ianya disyariatkan melainkan untuk melebur kesia-siannya
Tidaklah ia diwajibkan melainkan untuk membersihkan puasanya
Sungguh beruntung orang yang berzakat dan solat untuk Rabbnya
Di bulan puasa yang akan meleburkan dosanya selama setahun”

Sekian, akhukum fillah


MANSOR BIN HAJI OTHMAN
Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang