Pages

Thursday, April 19, 2012

Salleh Man akan mula tugas pengerusi MAINPP

Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Salleh Man akan mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam tempoh tiga bulan dari tarikh watikah pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang dikeluarkan pada 10 Februari.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman berkata watikah pelantikan itu telah memberi perkenan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Abdul Malik Abul Kassim sebagai Yang Dipertua MAINPP bagaimanapun kerajaan negeri telah membuat permohonan agar tempat itu diisi oleh Salleh.

"Kerajaan negeri memang mencalonkan Abdul Malik untuk jawatan itu kerana nama Salleh tidak terpilih untuk tempoh 2010 hingga 2011 dan diganti dengan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Ellias Zakaria," katanya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Georgetown hari ini.

Bagaimanapun Mansor berkata pemilihan Salleh untuk kali kedua adalah disebabkan janji oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan melantik beliau sekiranya memenang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 2009.

Sementara itu Abdul Malik, yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata bahawa beliau tidak ragu-ragu melepaskan jawatan itu kepada Salleh kerana ia adalah keputusan kerajaan negeri.

Kekosongan jawatan Yang Dipertua MAINPP berlaku setelah Elias yang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM menamatkan perkhidmatannya pada 31 Dis 2011.

Thursday, April 5, 2012

MAHASISWA PULAU PINANG DI UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS) & UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS) SAMBUT MERIAH KUNJUNGAN DATO' MANSOR


KUCHING 31 Mac 2012- Kesempatan lawatan kerja ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini digunakan sepenuhnya oleh Y.B. Dato' Mansor Hj Othman untuk bertemu dan beramah mesra dengan siswa-siswi dari negeri Pulau Pinang yang sedang menuntut di IPTA kedua-dua negeri tersebut.



Dato' Mansor yang juga merupakan Pengerusi Majlis Perundingan Mahasiswa Pulau Pinang (MPMPP) melapangkan masa untuk makan malam bersama kira-kira 300 orang siswa-siswi Pulau Pinang di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Disamping jamuan makan malam, program tersebut juga diserikan dengan majlis penganugerahan sijil kecemerlangan akademik oleh MPMPP kepada mahasiswa anak Pulau Pinang yang cemerlang dalam bidang pengajian mereka.





Dalam ucapannya Dato' Mansor mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih terhadap pihak pentadbiran UNIMAS kerana kerjasama yang diberikan dalam menjayakan majlis makan malam tersebut. Kehadiran wakil pentadbiran dan juga pensyarah Universiti di majlis yang dijayakan di salah sebuah hotel di bandaraya Kuching itu dilihat sebagai petanda positif kerjasama erat antara MPMPP dan UNIMAS demi kebajikan para pelajar.



Dato' Mansor juga menasihati mahasiswa yang hadir supaya tidak mensia-siakan masa berharga di Universiti dengan menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan sebagai bekalan untuk menjadi modal insan yang berjaya untuk kembali berkhidmat kepada negeri Pulau Pinang pada suatu masa nanti. Menurut beliau lagi, mahasiswa merupakan aset kepada Kerajaan Negeri sebagai tenaga kerja dan kepimpinan negeri pada masa hadapan, oleh itu MPMPP merupakan medium perantara untuk menjamin kebajikan mahasiswa yang sedang menuntut samaada di dalam mahupun di luar negeri.






Sementara itu pada hari sebelumnya di Kota Kinabalu Sabah, Dato' Mansor melapangkan masa untuk makan tengahari bersama kira-kira 30 orang mahasiswa Pulau Pinang yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS).