
View BILIK GERAKAN PAKATAN RAKYAT in a larger map
Pihak Admin memohon maaf atas kesalahan tersebut.
Harap Maklum.
"Ramadhan di hayati, ekonomi di berkati. Bulan Ramadan membawa pelbagai rahmat dan keberkatan kepada segenap lapisan masyarakat khasnya kepada golongan peniaga. Inilah musim yang ditunggu-tunggu oleh peniaga bagi melipat- gandakan keuntungan sepanjang menjalankan perniagaan di bulan yang mulia ini. Peluang-peluang perniagaan sepanjang bulan Ramadan seperti promosi-promosi jualan Pasaraya dan bazar-bazar Ramadan sentiasa menjadi rebutan kerana ia menjanjikan keuntungan yang lumayan.
Di harapkan Penang Ramadan Suoq yang bermaksud “Pasar Ramadhan Pulau Pinang” ini, akan menjadi satu lagi produk perdagangan yang baru di Pulau Pinang, yang akan menjadi pemangkin kepada kegiatan perniagaan dan perdagangan di Pulau Pinang. Melalui program ini, diharapkan Pulau Pinang akan menjadi destinasi tumpuan baru pelancong muslim dalam dan luar negara, khasnya negara-negara Timur Tengah setiap tahun, sepanjang bulan Ramadan.
Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan dengan tegas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum terutamanya bangsa Melayu (Bumiputera) dalam bidang ekonomi.Sebaliknya, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penglibatan Bumiputera supaya dapat bersaing secara sihat dengan bangsa lain dalam apa jua bidang yang diceburi termasuklah bidang ekonomi.
Hal ini terbukti dengan penganjuran Penang Ramadan Suoq pada hari ini. Dengan adanya penganjuran program seumpama ini, peluang perniagaan kepada Bumiputera dan kaum-kaum lain dapat dibuka. Sebagai contoh ruang niaga aras 3 KOMTAR ini ditutup pada bulan Mac yang lalu bagi menjalani proses pengubahsuaian, dan kini selepas siap sepenuhnya gerai-gerai jualan sempena Penang Ramadan Suoq dapat dibuka dengan keadaan yang serba indah dan baharu.
Ini juga sekaligus menangkis dakwaan daripada pihak-pihak tertentu kononnya Kerajaan Negeri cuba menghalang aktiviti perniagaan, dengan sengaja menutup aras 3 ini. Walhal dakwaan ini sebenarnya adalah salah dan sengaja direka bagi mencetuskan huru-hara dan membangkitkan rasa bimbang kepada para peniaga.
Pada saat ini kita dapat saksikan sendiri bahawa suasana yang dahulunya suram kini telah ceria dengan keadaan lanskap yang sungguh berbeza dari sebelumnya. Oleh itu adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar persekitaran atau ruang legar yang serba baharu ini dapat dikekalkan dengan baik disamping dapat menarik lebih ramai pengunjung ke sini dan dapat memberikan pulangan yang berbaloi kepada para peniaga, InsyaAllah..."
Acara perasmian Kempen Tanam Pokok Peringkat Seberang Perai Tengah
Timbalan Ketua Menteri (1) Dato' Mansor Othman hari ini melancarkan Kempen Tanam Pokok Peringkat Seberang Perai Tengah di atas 72,000 kaki persegi tanah milik kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Pelancaran tersebut katanya merupakan kesinambungan pada kempen "Hijaukan Bumi Pulau Pinang" yang dilaksanakan sebelum ini supaya rakyat di negeri perindustrian itu boleh terus menikmati kelestarian alam sekitar.
"Untuk menjadi negeri paling maju di rantau ini, tak cukup kita (Pulau Pinang) mempunyai prasarana perindustrian yang maju, kita (Pulau Pinang) perlu juga ada kualiti alam sekitar yang lestari.
"Kalau boleh, kempen (tanam pokok) yang akan dilaksanakan oleh MPPP ini perlu dapat penyertaan rakyat sendiri secara sukarela dan budaya ini perlu digerakkan bersama," ujar Mansor di perkarangan tanah lapang berhampiran Balai Polis Seberang Jaya, di sini.
Senator Mustafa yang lebih dikenali sebagai Pak Mus turut melengkapkan majlis kempen tanam pokok di sini.
Justeru Adun Penanti itu berkata, budaya lestari alam sekitar itu tidak mungkin berjaya melainkan memerlukan perubahan paradigma semua pihak.
"Kita kene ubah cara fikir kita, tak cukup dengan kempen atau kuat kuasa undang-undang.
"Ubah cara fikir kita macam rakyat di negera-negara maju (iaitu) jaga alam sekitar dianggap satu 'status yang mulia' dalam masyarakat."
"Budaya tanam pokok di rumah (serta) kampung halaman kita wajar dianggap sebagai suatu 'status yang mulia' dalam diri kita masing-masing seperti rakyat di negera-negera maju," beliau menambah.
"Ubah cara fikir kita macam rakyat di negera-negara maju (iaitu) jaga alam sekitar dianggap satu 'status yang mulia' dalam masyarakat."
Bercakap di depan lebih 50 hadirin, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong kempen "Tiada Plastik Beg Percuma" di pasar raya yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng sejak 1 Januari lalu.
Mansor turut memuji usaha agresif JPS memulihara sungai di negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu dengan menggunakan teknologi moden seperti "Effective Mudball" (gambar kanan) atau "bola lumpur yang digunakan untuk nyah sampah" bagi merawat air sungai di negeri ini.
"Dulu Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) kata Pulau Pinang ini 'negeri sampah' kerana sungai-sungai kita kotor dan penuh dengan sampah.
"Saya diberitahu bahawa hari ini sungai-sungai di sekitar Pulau Pinang pun kian bersih kerana usaha JPS guna teknologi terkini (iaitu) 'Effective Mudball'," beliau menambah.
Dari Kanan: Datuk Tan, Roslan, Dato' Mansor, Senator Mustafa Kamal dan wakil Jurutera JPS.
Turut hadir, Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Tan Hock Leong, Roslan Yahaya (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah), Senator Mustafa Kamal Mohd Yusoff, Johari Kassim (Ketua Penerangan PKR Negeri) (gambar bawah), Abdul Jalil Che Ros (Penyelaras DUN Seberang Jaya) dan wakil Jurutera JPS.
Johari Kassim antara yang hadir menyokong iltizam politik Mansor.
Dalam perkembangan lain, Mansor turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pak Umaq, aktivis veteran PKR era Reformasi 1998 merangkap penasihat Pakatan Rakyat pada detik 10 malam semalam di Sungai Rusa, Balik Pulau.
Mansor yang juga Naib Presiden PKR merangkap Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang dalam ucapannya meminta keluarga Pak Umar supaya bersabar dengan ketentuan Ilahi tersebut. -END
sumber: mansorothman.com
Pengalamannya sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim sehingga 1998 merupakan bekal yang berharga waktu dipilih menjadi Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang bermula pada tanggal 3 Jun 2009 lalu.
Tak sampai usia dua tahun menjadi orang no.2 dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng, namanya telah menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang diwakilinya.
Kalau bertanya sendiri kepada tuan punya badan, Dato' Mansor Haji Othman, pencapaian dan sumbangan yang telah dirakyatkan masih belum memadai.
Tak cukup hari bekerja dari Isnin hingga Jumaat, hari cuti, Sabtu dan Ahad turut dipenuhi dengan program-program kebajikan dan kemasyarakatan dengan rakyat.
Pengalaman seharian mendampingi Mansor pada Ahad, 22 Mei lalu cukup berharga. 7 pagi lagi Mansor sudah keluar dari rumahnya di Taman Sri Nibong walaupun program gotong royong di Penanti dijadualkan pada jam 8.30 pagi.
Telatah 'orang lama' di warung kopi dengan pelbagai cerita jenaka menghiburkan
Kata Mansor, seorang wakil rakyat bukan sahaja perlu disiplin dengan masanya, bahkan perlu menggunakan masa sebaik mungkin untuk berkhidmat dengan rakyat.
"Kalau saya keluar awal dari rumah, saya boleh bertandang ke mana-mana kedai kopi untuk meramahi rakyat di samping mendengar respons mereka mengenai gerak kerja (perkhidmatan) kita," ujar Mansor.
Tandang Mansor di warung kopi di sekitar Dun Penanti dijadikan tempat rakyat berkongsi cerita masing-masing.
Budaya minum di warung pada setiap pagi tak kira hari bekerja atau cuti digunakan sebaik mungkin oleh rakyat di kawasannya untuk berkongsi cerita dengan Mansor.
Mansor kemudiannya menyertai program Gotong-Royong Perdana di perkarangan Dewan Kampung Taman Baru, DUN Seberang Jaya dalam Parlimen Permatang Pauh bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Jalan Hussain Onn.
Ada saja jenaka 'orang lama' Kampung Taman Baru apabila disapa Mansor.
Sukarelawan dari Majlis Perbandaran Seberang Perai Tengah (MPSP) turut menyertai program kemasyarakatan membersihkan kawasan parit supaya bebas dari wabak denggi.
Kata Mansor, JKKK era kerajaan baru Pulau Pinang bukan sahaja wajar menjadi juara dalam program kemasyarakatan, bahkan perlu menggerakkan program-program berunsur pendidikan atau keagamaan.
"Kalau boleh JKKK kita di sini anjur Forum Perdana Hal Ehwal Islam dengan kerjasama MAIPP (Majlis Agama Islam Pulau Pinang) dan Pejabat Daerah (dan Tanah, SPT).
"JKKK bukan Islam pun perlu dekati dan aktif di rumah-rumah ibadat. InsyaAllah, jawatankuasa baru persatuan qaryah masjid sesi 2011/12 Jun ini akan diadakan secara pilihan raya supaya kita semua berlumba-lumba buat kebaikan," ujar Mansor sebagaimana dipetik di blog peribadinya, http://mansorothman.com.
"Jadi timbalan ketua menteri 1 bukan alasan untuk saya tak ambil tahu tentang cara guna mesin rumput," seloroh Mansor di majlis gotong-royong di Penanti," seloroh Mansor kepada seorang sukarelawan di pejabat PKR Cabang Permatang Pasir.
Lebih 100 sukarelawan, termasuk dari Team Amal Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyertai program gotong-royong sehingga Zohor.
Mansor diminta mempertimbang untuk membina sebuah gelangga futsal dan badminton di Kampung Taman Baru kerana penduduk setempat telah memohonnya sejak era Umno Barisan Nasional memerintah negeri lagi, namun tidak ditunaikan oleh wakil rakyatnya, Dato' Arif Shah Omar Shah sehingga kini.
Mansor selain meminta JKKK segerakan menghantar proposal bajet ke pejabat Daerah dan Tanah, turut mengarahkan pegawainya Abang Non untuk memastikan hasrat penduduk tempatan itu direalisasikan.
Pada sebelah tengah hari, Mansor bergegas pula ke KOMTAR menyertai Lim Guan Eng menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang SPM 2010.
Mansor bersama Ketua Menteri Pulau Pinang LIm Guan Eng pada Majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang Pelajar-Pelajar Cemerlang 2010 di KOMTAR
Lebih 100 pelajar, sebahagiannya Melayu diraikan oleh kerajaan negeri dalam majlis penuh kemeriahan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Mansor dalam satu kenyataan media merakamkan penghargaan kepada dua pelajar Melayu yang menduduki senarai 10 pelajar terbaik di peringkat negeri.
"Kalau tahun ini, 2 pelajar kita telah membuktikan kecemerlangan masing-masing, kalau boleh 20 pelajar Melayu kita terbaik untuk SPM 2011 tahun depan.
"Saya nak dari kalangan mereka ini datang dari Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Bantuan Negeri (SABN), insyaAllah," ujarnya.
Tak lama di Komtar, Mansor bergegas pula ke Batu Maung - Dun yang diwakili oleh Tuan Abdul Malik bin Abu Kassim - untuk perasmian penutup Program Gerak Kerja Perdana Bersama Rakyat Daerah Barat Daya 2011 yang dijadualkan jam 2 petang.
Di majlis tersebut, Mansor sempat menyertai acara sukaneka berkeluarga bersama rakyat setempat di samping mengadakan lawatan ke gerai-gerai agensi kerajaan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang kebanyakannya menerima partisipasi orang-orang Melayu.
Mansor melawat booth pameran iKS di Program Gerak Kerja Perdana Rakyat di Batu Maung
Mansor ketika berucap di pentas perasmian mengajak rakyat khususnya komuniti Melayu supaya menceburi gerakan Koperasi kerana mempunyai prospek yang cerah.
"(Koperasi) Royal Cosun di Belanda boleh bergabung dengan beberapa koperasi sehingga jadi pengeluar gula dan produk berasas gula terbesar di Belanda dan memainkan peranan penting di Kesatuan Eropah.
"Tak cukup kita (Pulau Pinang) ada lebih 500 koperasi, kalau Melayu tak ambil peluang tubuh koperasi dan lakukan penggabungan (koperasi) macam di Belanda untuk agenda ekonomi bangsa," ujar Mansor di majlis yang dihadiri lebih 300 penduduk tempatan.
Mansor kemudiannya bergegas pulang ke kawasannya, iaitu DUN Penanti bagi menyempurnakan majlis penyerahan sijil pra-perkahwinan selama dua hari kepada lebih 64 pasangan yang kebanyakannya anak muda tempatan.
Mansor ketika berucap pada majlis perasmian penutup di Yayasan Aman melontarkan cadangan kepada pihak berwajib, termasuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk menganjurkan perkahwinan berkelompok untuk memudahkan generasi muda membina 'masjid'.
"Kalau boleh, kita bincang dan adakan kahwin pakej berkelompok supaya anak-anak muda kita boleh hidup secara sihat, jauh dari gejala negatif," ujarnya disambut tepuk tangan mereka yang hadir.
Mansor di majlis perasmian penutup Kursus Perkahwinan, Dun Penanti
Walaupun Mansor mempunyai iltizam politik "Memartabatkan Agenda Bangsa", tidak bermakna beliau seorang yang cauvenis seperti yang rakyat lihat pada kebanyakan pemimpin Umno dan Pertubuhan Perkasa Bumiputera (Perkasa) hari ini.
Sekitar jam 8 malam, Mansor menyertai komuniti warga emas di Balai Raya Kampung Sungai Lembu sempena sambutan Hari Ibu Sedunia yang jatuh pada tanggal 8 Mei 2011.
Mansor memotong kek meraikan kaum ibu sempena Hari Ibu Sedunia
Lebih 20 kaum ibu diraikan pada majlis tersebut dengan upacara memotong kek gergasi oleh Mansor sendiri.
Mansor menjadi perhatian kerana beliau tak segan memotong kek lalu diserahkan pada setiap ibu di kampung tersebut.
Paling menarik, beliau turut menyuapkan kek ke mulut warga emas paling tua di kampung itu.
"Semua ibu di sini adalah sebaya dengan ibu saya, jadi walaupun rambut saya kelihatan sedikit beruban, maka tak salah jika saya memanggil semua di depan saya ini sebagai 'ibu'," seloroh Mansor disambut gelak-ketawa mereka yang hadir.
Mansor meramahi ibu paling tua di Kampung Sungai Lembu.
Dalam ucapan tersebut, Mansor turut meminta pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah tanah tanpa geran oleh kebanyakan komuniti Cina di sini, yang acap kali dijadikan modal Barisan Nasional khususnya MCA pada setiap kali musim pilihan raya.
"Boleh kata setiap kali pilihan raya, masyarakat Cina di sini diugut. Kita akan cari jalan.
Berpuluh tahun kampung ini diduduki, takkan Umno, MCA atau BN nak kata orang kampung ini masih tidak berhak memiliki tanah ini," ujarnya.
9.30 malam, Mansor bergegas juga ke Bukit Tengah untuk meraikan Majlis Jamuan Makan Malam & Suntikan Semangat kepada semua JKKK di Dun tersebut.
Program itu dianjurkan sendiri oleh Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen. Pemimpin-pemimpin setempat dari PKR, DAP dan PAS turut diraikan dalam majlis itu.
JKKK Batu Kawan bersatu hati mahu melaksanakan agenda perubahan bersama-sama kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat
Mansor selain merakamkan penghargaan atas JKKK yang baru dilantik, turut meminta jawatankuasa berwajib menyertai proses pilihan raya yang akan diadakan di setiap persatuan anak-anak qaryah masjid Pulau Pinang.
"Kalau kita (JKKK) dah jadi juara dalam aktiviti kemasyarakatan, kita kena juga aktif dan sertai pilihan raya untuk pilih jawatankuasa masjid yang baru.
"Kita tak mahu urus masjid ikut cara Umno dengan lantik mereka yang hanya menjaga kepentingan politik pemerintah, kita nak anak qaryah sendiri pilih mereka yang layak supaya masjid kita makmur dengan ceramah, kuliah agama dan forum isu semasa.
"JKKK bukan Islam pun kena dekati rumah ibadat, kita kena tunjukkan yang urus tadbir kita jauh lebih baik dari kerajaan (negeri) sebelum ini," tegas beliau.
Lewat jam 11.30 juga program keraian itu selesai.
Mansor ditanya, "ada lagikah program selepas ini?"
"Kalau ada pun, kita kene pergi supaya harapan rakyat kepada kita tidak dihampakan," jawab beliau kepada saya ketika dalam perjalanan pulang. -END
___________________
* Artikel ini ditulis oleh Zainulfaqar Yaacob, Pegawai Media kepada Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang untuk akhbar Buletin Mutiara edisi Julai 2011