Pages

Thursday, June 9, 2011

Warung kopi jadi tempat mesra rakyat *


http://mansorothman.com


Pengalamannya sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim sehingga 1998 merupakan bekal yang berharga waktu dipilih menjadi Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang bermula pada tanggal 3 Jun 2009 lalu.


Tak sampai usia dua tahun menjadi orang no.2 dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng, namanya telah menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang diwakilinya.


Kalau bertanya sendiri kepada tuan punya badan, Dato' Mansor Haji Othman, pencapaian dan sumbangan yang telah dirakyatkan masih belum memadai.


Tak cukup hari bekerja dari Isnin hingga Jumaat, hari cuti, Sabtu dan Ahad turut dipenuhi dengan program-program kebajikan dan kemasyarakatan dengan rakyat.


Pengalaman seharian mendampingi Mansor pada Ahad, 22 Mei lalu cukup berharga. 7 pagi lagi Mansor sudah keluar dari rumahnya di Taman Sri Nibong walaupun program gotong royong di Penanti dijadualkan pada jam 8.30 pagi.


Telatah 'orang lama' di warung kopi dengan pelbagai cerita jenaka menghiburkan


Kata Mansor, seorang wakil rakyat bukan sahaja perlu disiplin dengan masanya, bahkan perlu menggunakan masa sebaik mungkin untuk berkhidmat dengan rakyat.


"Kalau saya keluar awal dari rumah, saya boleh bertandang ke mana-mana kedai kopi untuk meramahi rakyat di samping mendengar respons mereka mengenai gerak kerja (perkhidmatan) kita," ujar Mansor.


Tandang Mansor di warung kopi di sekitar Dun Penanti dijadikan tempat rakyat berkongsi cerita masing-masing.


Budaya minum di warung pada setiap pagi tak kira hari bekerja atau cuti digunakan sebaik mungkin oleh rakyat di kawasannya untuk berkongsi cerita dengan Mansor.


Mansor kemudiannya menyertai program Gotong-Royong Perdana di perkarangan Dewan Kampung Taman Baru, DUN Seberang Jaya dalam Parlimen Permatang Pauh bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Jalan Hussain Onn.


Ada saja jenaka 'orang lama' Kampung Taman Baru apabila disapa Mansor.


Sukarelawan dari Majlis Perbandaran Seberang Perai Tengah (MPSP) turut menyertai program kemasyarakatan membersihkan kawasan parit supaya bebas dari wabak denggi.


Kata Mansor, JKKK era kerajaan baru Pulau Pinang bukan sahaja wajar menjadi juara dalam program kemasyarakatan, bahkan perlu menggerakkan program-program berunsur pendidikan atau keagamaan.


"Kalau boleh JKKK kita di sini anjur Forum Perdana Hal Ehwal Islam dengan kerjasama MAIPP (Majlis Agama Islam Pulau Pinang) dan Pejabat Daerah (dan Tanah, SPT).


"JKKK bukan Islam pun perlu dekati dan aktif di rumah-rumah ibadat. InsyaAllah, jawatankuasa baru persatuan qaryah masjid sesi 2011/12 Jun ini akan diadakan secara pilihan raya supaya kita semua berlumba-lumba buat kebaikan," ujar Mansor sebagaimana dipetik di blog peribadinya, http://mansorothman.com.


"Jadi timbalan ketua menteri 1 bukan alasan untuk saya tak ambil tahu tentang cara guna mesin rumput," seloroh Mansor di majlis gotong-royong di Penanti," seloroh Mansor kepada seorang sukarelawan di pejabat PKR Cabang Permatang Pasir.


Lebih 100 sukarelawan, termasuk dari Team Amal Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyertai program gotong-royong sehingga Zohor.


Mansor diminta mempertimbang untuk membina sebuah gelangga futsal dan badminton di Kampung Taman Baru kerana penduduk setempat telah memohonnya sejak era Umno Barisan Nasional memerintah negeri lagi, namun tidak ditunaikan oleh wakil rakyatnya, Dato' Arif Shah Omar Shah sehingga kini.


Mansor selain meminta JKKK segerakan menghantar proposal bajet ke pejabat Daerah dan Tanah, turut mengarahkan pegawainya Abang Non untuk memastikan hasrat penduduk tempatan itu direalisasikan.


Pada sebelah tengah hari, Mansor bergegas pula ke KOMTAR menyertai Lim Guan Eng menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang SPM 2010.


Mansor bersama Ketua Menteri Pulau Pinang LIm Guan Eng pada Majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang Pelajar-Pelajar Cemerlang 2010 di KOMTAR


Lebih 100 pelajar, sebahagiannya Melayu diraikan oleh kerajaan negeri dalam majlis penuh kemeriahan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).


Mansor dalam satu kenyataan media merakamkan penghargaan kepada dua pelajar Melayu yang menduduki senarai 10 pelajar terbaik di peringkat negeri.


"Kalau tahun ini, 2 pelajar kita telah membuktikan kecemerlangan masing-masing, kalau boleh 20 pelajar Melayu kita terbaik untuk SPM 2011 tahun depan.


"Saya nak dari kalangan mereka ini datang dari Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Bantuan Negeri (SABN), insyaAllah," ujarnya.


Tak lama di Komtar, Mansor bergegas pula ke Batu Maung - Dun yang diwakili oleh Tuan Abdul Malik bin Abu Kassim - untuk perasmian penutup Program Gerak Kerja Perdana Bersama Rakyat Daerah Barat Daya 2011 yang dijadualkan jam 2 petang.


Di majlis tersebut, Mansor sempat menyertai acara sukaneka berkeluarga bersama rakyat setempat di samping mengadakan lawatan ke gerai-gerai agensi kerajaan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang kebanyakannya menerima partisipasi orang-orang Melayu.


Mansor melawat booth pameran iKS di Program Gerak Kerja Perdana Rakyat di Batu Maung


Mansor ketika berucap di pentas perasmian mengajak rakyat khususnya komuniti Melayu supaya menceburi gerakan Koperasi kerana mempunyai prospek yang cerah.


"(Koperasi) Royal Cosun di Belanda boleh bergabung dengan beberapa koperasi sehingga jadi pengeluar gula dan produk berasas gula terbesar di Belanda dan memainkan peranan penting di Kesatuan Eropah.


"Tak cukup kita (Pulau Pinang) ada lebih 500 koperasi, kalau Melayu tak ambil peluang tubuh koperasi dan lakukan penggabungan (koperasi) macam di Belanda untuk agenda ekonomi bangsa," ujar Mansor di majlis yang dihadiri lebih 300 penduduk tempatan.


Mansor kemudiannya bergegas pulang ke kawasannya, iaitu DUN Penanti bagi menyempurnakan majlis penyerahan sijil pra-perkahwinan selama dua hari kepada lebih 64 pasangan yang kebanyakannya anak muda tempatan.

Mansor ketika berucap pada majlis perasmian penutup di Yayasan Aman melontarkan cadangan kepada pihak berwajib, termasuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk menganjurkan perkahwinan berkelompok untuk memudahkan generasi muda membina 'masjid'.


"Kalau boleh, kita bincang dan adakan kahwin pakej berkelompok supaya anak-anak muda kita boleh hidup secara sihat, jauh dari gejala negatif," ujarnya disambut tepuk tangan mereka yang hadir.


Mansor di majlis perasmian penutup Kursus Perkahwinan, Dun Penanti


Walaupun Mansor mempunyai iltizam politik "Memartabatkan Agenda Bangsa", tidak bermakna beliau seorang yang cauvenis seperti yang rakyat lihat pada kebanyakan pemimpin Umno dan Pertubuhan Perkasa Bumiputera (Perkasa) hari ini.


Sekitar jam 8 malam, Mansor menyertai komuniti warga emas di Balai Raya Kampung Sungai Lembu sempena sambutan Hari Ibu Sedunia yang jatuh pada tanggal 8 Mei 2011.


Mansor memotong kek meraikan kaum ibu sempena Hari Ibu Sedunia


Lebih 20 kaum ibu diraikan pada majlis tersebut dengan upacara memotong kek gergasi oleh Mansor sendiri.


Mansor menjadi perhatian kerana beliau tak segan memotong kek lalu diserahkan pada setiap ibu di kampung tersebut.


Paling menarik, beliau turut menyuapkan kek ke mulut warga emas paling tua di kampung itu.

"Semua ibu di sini adalah sebaya dengan ibu saya, jadi walaupun rambut saya kelihatan sedikit beruban, maka tak salah jika saya memanggil semua di depan saya ini sebagai 'ibu'," seloroh Mansor disambut gelak-ketawa mereka yang hadir.


Mansor meramahi ibu paling tua di Kampung Sungai Lembu.


Dalam ucapan tersebut, Mansor turut meminta pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah tanah tanpa geran oleh kebanyakan komuniti Cina di sini, yang acap kali dijadikan modal Barisan Nasional khususnya MCA pada setiap kali musim pilihan raya.


"Boleh kata setiap kali pilihan raya, masyarakat Cina di sini diugut. Kita akan cari jalan.

Berpuluh tahun kampung ini diduduki, takkan Umno, MCA atau BN nak kata orang kampung ini masih tidak berhak memiliki tanah ini," ujarnya.


9.30 malam, Mansor bergegas juga ke Bukit Tengah untuk meraikan Majlis Jamuan Makan Malam & Suntikan Semangat kepada semua JKKK di Dun tersebut.


Program itu dianjurkan sendiri oleh Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen. Pemimpin-pemimpin setempat dari PKR, DAP dan PAS turut diraikan dalam majlis itu.


JKKK Batu Kawan bersatu hati mahu melaksanakan agenda perubahan bersama-sama kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat


Mansor selain merakamkan penghargaan atas JKKK yang baru dilantik, turut meminta jawatankuasa berwajib menyertai proses pilihan raya yang akan diadakan di setiap persatuan anak-anak qaryah masjid Pulau Pinang.


"Kalau kita (JKKK) dah jadi juara dalam aktiviti kemasyarakatan, kita kena juga aktif dan sertai pilihan raya untuk pilih jawatankuasa masjid yang baru.


"Kita tak mahu urus masjid ikut cara Umno dengan lantik mereka yang hanya menjaga kepentingan politik pemerintah, kita nak anak qaryah sendiri pilih mereka yang layak supaya masjid kita makmur dengan ceramah, kuliah agama dan forum isu semasa.


"JKKK bukan Islam pun kena dekati rumah ibadat, kita kena tunjukkan yang urus tadbir kita jauh lebih baik dari kerajaan (negeri) sebelum ini," tegas beliau.


Lewat jam 11.30 juga program keraian itu selesai.


Mansor ditanya, "ada lagikah program selepas ini?"


"Kalau ada pun, kita kene pergi supaya harapan rakyat kepada kita tidak dihampakan," jawab beliau kepada saya ketika dalam perjalanan pulang. -END

___________________

* Artikel ini ditulis oleh Zainulfaqar Yaacob, Pegawai Media kepada Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang untuk akhbar Buletin Mutiara edisi Julai 2011