Berikut adalah sebahagian petikan ucapan YB. Dato' Mansor Othman ketika majlis pelancaran dan perasmian "Penang Ramadhan Suoq 2011" baru-baru ini:
"Ramadhan di hayati, ekonomi di berkati. Bulan Ramadan membawa pelbagai rahmat dan keberkatan kepada segenap lapisan masyarakat khasnya kepada golongan peniaga. Inilah musim yang ditunggu-tunggu oleh peniaga bagi melipat- gandakan keuntungan sepanjang menjalankan perniagaan di bulan yang mulia ini. Peluang-peluang perniagaan sepanjang bulan Ramadan seperti promosi-promosi jualan Pasaraya dan bazar-bazar Ramadan sentiasa menjadi rebutan kerana ia menjanjikan keuntungan yang lumayan.
Di harapkan Penang Ramadan Suoq yang bermaksud “Pasar Ramadhan Pulau Pinang” ini, akan menjadi satu lagi produk perdagangan yang baru di Pulau Pinang, yang akan menjadi pemangkin kepada kegiatan perniagaan dan perdagangan di Pulau Pinang. Melalui program ini, diharapkan Pulau Pinang akan menjadi destinasi tumpuan baru pelancong muslim dalam dan luar negara, khasnya negara-negara Timur Tengah setiap tahun, sepanjang bulan Ramadan.
Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan dengan tegas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum terutamanya bangsa Melayu (Bumiputera) dalam bidang ekonomi.Sebaliknya, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penglibatan Bumiputera supaya dapat bersaing secara sihat dengan bangsa lain dalam apa jua bidang yang diceburi termasuklah bidang ekonomi.
Hal ini terbukti dengan penganjuran Penang Ramadan Suoq pada hari ini. Dengan adanya penganjuran program seumpama ini, peluang perniagaan kepada Bumiputera dan kaum-kaum lain dapat dibuka. Sebagai contoh ruang niaga aras 3 KOMTAR ini ditutup pada bulan Mac yang lalu bagi menjalani proses pengubahsuaian, dan kini selepas siap sepenuhnya gerai-gerai jualan sempena Penang Ramadan Suoq dapat dibuka dengan keadaan yang serba indah dan baharu.
Ini juga sekaligus menangkis dakwaan daripada pihak-pihak tertentu kononnya Kerajaan Negeri cuba menghalang aktiviti perniagaan, dengan sengaja menutup aras 3 ini. Walhal dakwaan ini sebenarnya adalah salah dan sengaja direka bagi mencetuskan huru-hara dan membangkitkan rasa bimbang kepada para peniaga.
Pada saat ini kita dapat saksikan sendiri bahawa suasana yang dahulunya suram kini telah ceria dengan keadaan lanskap yang sungguh berbeza dari sebelumnya. Oleh itu adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar persekitaran atau ruang legar yang serba baharu ini dapat dikekalkan dengan baik disamping dapat menarik lebih ramai pengunjung ke sini dan dapat memberikan pulangan yang berbaloi kepada para peniaga, InsyaAllah..."
Laporan -MIB-