Pages

Wednesday, February 29, 2012

PENGUNDI UBAH NEGARA JADI BERSIH

Mansor (tiga kanan) bersama Tian Chua (kanan), Abdul Halim (dua kiri) dan Khalil Idham Lim (kiri) di Taman Senangan, Teuk Air Tawar
Sebahagian pengundi pelbagai kaum turut hadir menyokong

Sebahagian tetamu menikmati jamuan sebelum ceramah dimulakan


TELUK AIR TAWAR: Pengundi bertanggungjawab menjadikan negara lebih bersih dengan melakukan perubahan total dalam pilihanraya umum akan datang.

Perubahan berkenaan bukan saja dari sudut pentadbiran tetapi juga membabitkan keseluruhan kepemimpinan yang lebih berjiwa rakyat.

Demikian saranan dan seruan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, ketika berucap dalam Majlis Jamuan Makan Malam dan Kutipan Dana KEADILAN Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Air Tawar dan Parlimen Tasek Gelugor, di padang awam Taman Senangan, Teluk Air Tawar, di sini.

Lebih 500 tetamu jemputan daripada parti gabungan, PAS dan DAP hadir memberi sokongan membuktikan azam Pakatan Rakyat (PR) untuk mengambil-alih Dun dan Parlimen berkenaan.

Mansor, berkata dalam era politik masa kini yang semakin mencabar dan terdedah dengan maklumat pantas, pengundi di Dun dan Parlimen berkenaan seharusnya menilai pemimpin mana yang lebih layak untuk mewakili mereka.

“Jika ditanya pengundi, sudah tentu mereka mahukan pemimpin yang menyelami nurani rakyat dan selalu berdamping dengan mereka untuk menyelesaikan masalah di penempatan masing-masing.

“Justeru, penilaian mereka terhadap kriteria seseorang pemimpin itu harus bertunjangkan faktor madani agar harapan mereka tidak menjadi kosong. Dan kerana itu, PR akan dalam proses meletakkan calon berwibawa, setia, jujur dan berkomitmen tinggi untuk mewakili mereka di kawasan ini,” katanya.

Selain Mansor, turut berucap ialah Naib Presiden KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Batu, YB Chua Tian Chang atau Tian Chua; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong (Perak), YB Drs Khalil Idham Lim Abdullah; Adun Kuala Kurau, YB Yunus Jamhari, dan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

Mansor, berkata pengundi di sesuatu komuniti kini sudah tahu menilai dan meletakkan persepsi terhadap pemimpin atau calon yang bakal bertanding di kawasan mereka.

“Penilaian itu seterusnya memberikan kuasa untuk mereka melakukan perubahan. Mereka tidak akan percaya kepada pemimpin yang bermuka-muka, yang akan hanya kelihatan ketika pilihanraya tiba.

”Pengundi akan hanya percaya, hormat dan mengangkat pemimpin yang sentiasa bersama rakyat dari semasa ke semasa membabitkan pelbagai isu kepentingan rakyat,” katanya.