GEORGETOWN: Lebih 2,500 peserta perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w apabila berkumpul di Padang Kota Lama, di sini, sambil berselawat memuji Baginda.
Perarakan itu disertai pelbagai agensi kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang membabitkan sebanyak 46 kontinjen dengan tema 'Rasulullah s.a.w Pencetus Perubahan'.
Perarakan sejauh lebih dua kilometer itu yang diketuai delegasi Ahli Dewan Undangan Negeri dipimpin Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, bermula dari Padang Kota Lama dan berakhir di perkarangan Dewan Sri Pinang turut mendapat perhatian kaum bukan Islam termasuk pelancong asing yang merakamkannya melalui lensa masing-masing.
Mansor (kiri) dibantu Abdul Malik menggunting kain rentang merasmikan perarakan. |
Hadir mengiringi Mansor ialah Exco Hal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim; Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Farizan Darus, dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Sazali Hussein.
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas, diiringi isteri, Toh Puan Datuk Seri Utama Majimor Shariff, hadir bagi menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1433 Hijrah bersamaan 2012 Masihi yang diadakan di Dewan Sri Pinang.
Dalam ucapan sambutan majlis itu, Mansor, mengajak seluruh umat Islam Pulau Pinang khususnya dan seluruh negara amnya menghayati sikap dan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w untuk dijadikan teladan utama dalam menjalani hidup seharian.
"Rasulullah sebaik-baik insan dan sesempurna hamba Allah yang wajib dituruti agar kehidupan kita sehari-hari terpandu dengan cahaya Islam yang syumul.
"Tiada lagi umat selepas kita kerana Nabi Muhammad s.a.w adalah rasul terakhir. Maka, dengan menjadikan baginda sebagai model contoh, insyaAllah, ganjaran pahala seterusnya syurga menanti keseluruhan umat Islam", katanya.
Mansor (dua kanan) mengetuai perarakan yang disertai lebih 2,500 peserta. |
Mansor, berkata selagi umat Islam hidup berlandaskan agama selagi itu Allah memelihara mereka daripada segala fitnah, adu domba dan perasaan hasad dengki.
"Manusia seperti kita bukan maksum. Oleh itu, sebagai hamba Allah wajib kita mentaati segala suruhan dan meninggalkan apa juga larangan kerana Dia maha mengetahui apa yang tidak kita ketahui," katanya.