Mansor menyerahkan replika kunci rumah kepada Tan (kanan) sambil diperhati Khalijah (dua kanan) dan Azmi (kiri) serta Suhaidi (dua kiri) |
Penerima dan hadirin mengaminkan doa |
Mansor tidak kekok menikmati jamuan ringkas bersama penduduk kampung dan Suhaidi (kiri) |
PENANTI: Dua warga
emas, Khalijah Man, dan Tan Han Eng, dari Kuala Mengkuang, di sini, berasa
cukup gembira selepas permohonan mereka untuk menduduki rumah sendiri yang
selesa dan mempunyai kemudahan air dan elektrik akhirnya terlaksana.
Kedua-duanya sebelum ini hanya tinggal
menumpang di tanah orang sejak puluhan tahun lalu dengan mendiami rumah yang
sangat daif bersama keluarga masing-masing.
Khalijah, 65, yang bekerja mengambil upah menoreh
getah, berkata dia tidak mampu memiliki rumah sendiri ekoran pendapatannya
hanya mencukupi untuk perbelanjaan sendiri sahaja.
“Saya tidak pernah bermimpi untuk menduduki
rumah yang selesa dan sempurna. Ini kerana, sejak 40 tahun lalu saya hanya
menumpang rumah di tanah orang.
“Saya selalu mengimpikan rumah sendiri namun
ianya mustahil bagi saya kerana pendapatan mengambil upah menoreh getah hanya
sekadar cukup untuk belanja keperluan saja,” katanya.
Khalijah, berkata sejak itu dia hanya
menganggap impian memiliki rumah sendiri sekadar angan-angan dan mustahil
diperolehinya.
Katanya, namun pada 2009, ahli Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kubang Ulu/Kuala Mengkuang diketuai
Pengerusinya, Azmi Abdullah, mengunjunginya untuk bancian.
“Daripada situ, saya dimaklumkan layak untuk
memohon bantuan rumah dan selepas urusan berkaitan tanah dan lokasi serta
peruntukan selesai, akhirnya mimpi saya jadi kenyataan.
“Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada
JKKK Kubang Ulu/Kuala Mengkuang dan kerajaan negeri kerana berusaha membantu
golongan miskin seperti saya,” katanya.
Khalijah dan Tan ditemui ketika majlis
penyerahan kunci dalam Program Bantuan Rumah di Kuala Mengkuang yang
disampaikan sendiri Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman,
diiringi Penghulu Penanti, Suhaidi Sulaiman.
Sementara itu, Tan, 67, berkata beliau
terharu atas sumbangan rumah bernilai RM33,000 berkenaan dan berterima kasih
kepada pihak yang membantunya.
“Terima kasih Datuk (Mansor). Terima kasih
(Lim) Guan Eng. Saya orang Cina miskin sangat terima kasih pada kerajaan
(negeri) ini. Saya seronok,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mansor, berkata
JKKK memainkan peranan penting menyalurkan maklumat berkenaan masalah komuniti
masing-masing.
“Tahniah JKKK Kubang Ulu/Kuala Mengkuang
kerana tindakan mereka membolehkan golongan berhak menerima hak mereka.
“Khidmat seumpama ini harus terus dikekalkan
kerana JKKK ibarat kaki dan tangan kerajaan negeri yang fungsinya amat
penting,” katanya.