Pages

Tuesday, February 21, 2012

KOPERASI RANCAKKAN EKONOMI SETEMPAT - MANSOR

Sheikh Ismail menerima cenderahati daripada Mansor

Antara wakil koperasi seluruh Pulau Pinang khusyuk mendengar taklimat

(dari kiri) Sheikh Ismail, Mansor, Hafidzah dan Setiausaha Sulit Mansor, Ibnu Attaillah Hashim sebagai tetamu utama kursus


GEORGETOWN: Kerajaan negeri amat menggalakkan penubuhan koperasi bagi merancak dan meningkatkan sosio-ekonomi di sesuatu komuniti berkenaan.

Selain memperkenalkan produk tempatan, ia juga dapat membudayakan rakyat negeri ini untuk memperkasakan koperasi masing-masing sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, berkata kewujudan koperasi seharusnya menjadi nadi pembangunan ekonomi sesuatu penempatan berdasarkan kapasiti penduduk.

“Kerajaan negeri amat serius untuk mewujudkan koperasi di sesuatu penempatan yang berpotensi menjana pulangan yang akhirnya memberi kebaikan kepada penggeraknya.

“Dalam masa sama, secara berperingkat, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia, kariah dan keluarga juga digalakkan menubuhkan koperasi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kursus Kecemerlangan Prestasi Kerja Koperasi di Hotel Flamingo, Tanjung Bungah, di sini.

Kursus itu anjuran Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Koperasi Pulau Pinang dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Pulau Pinang dan muncul negeri pertama menganjurkan kursus seumpama itu.

Antara modul baru diperkenalkan dalam kursus itu ialah Berfikir Secara Positif , Motivasi Pengurusan dan Kakitangan, Kecemerlangan Pengurusan-Kepemimpinan Melalui Tauladan dan Kecemerlangan Kakitangan.

Turut hadir, Pengerusi Perhubungan Angkasa Pulau Pinang, Sheikh Ismail Md Allapitchay, dan Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Pulau Pinang, Hafidzah Hassan serta Setiausaha Sulit beliau, Ibnu Attailah Hashim.

Mansor yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa, Pengurusan Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, berkata penggerak koperasi harus sentiasa bersikap positif dan berfikiran kreatif.

“Pemimpin koperasi perlu tampil dengan jalur idea yang memberi manfaat kepada koperasi diwakili demi ahli sekali gus memberi peluang meningkatkan ekonomi masing-masing.

“Dari semasa ke semasa, koperasi perlu juga mewujud dan memperbanyakkan kursus profesional yang berdaya maju seperti bakeri dan pastri,” katanya.

Beliau, berkata sehubungan itu penganjuran kursus lain yang berkaitan dengan pengurusan profesional seperti penyediaan minit mesyuarat dan kertas kerja bakal diadakan bagi memantapkan pentadbiran koperasi kelak.

“Koperasi yang berjaya diurus secara sistematik, profesional, berdaya saing dan berkualiti bakal dianugerahkan sebagai yang terbaik dan berpeluang meraih geran peruntukan dana yang disediakan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya percaya komitmen mereka yang terbabit dengan koperasi adalah senjata utama melonjakkan pencapaian koperasi masing-masing demi kepentingan sesuatu komuniti,” katanya.