Pages

Monday, February 13, 2012

KERAJAAN PULAU PINANG BUAT MUSUH POLITIK 'DEMAM TAK KEBAH' - MANSOR

Mansor mengiringi Lim Guan Eng ke pentas utama di Dewan Besar Sungai Dua
KEPALA BATAS: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan tetap meneruskan dasar yang pro rakyat walaupun pelbagai fitnah dan komen dangkal musuh politik cuba merencatkan hasrat murni berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, berkata halangan itu langsung tidak membekas kepada kerajaan negeri memandangkan banyak program daripada dasar yang dilakukan sejak memerintah Pulau Pinang pada 2008 lalu terus kepada sasaran.

"Biar mereka mahu tuduh, mahu fitnah malah mahu menggagalkan perancangan kerajaan negeri kerana rakyat Pulau Pinang tahu apa yang kerajaan negeri lakukan sejak mengambil-alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).

"Daripada program rumah mampu milik, warga emas, anak emas, pelajar emas dan bantuan kepada orang kelainan upaya, kerajaan negeri sudah memperuntukkan sejumlah belanjawan setiap tahun.
Tiga kepemimpinan utama negeri menyantuni rakyat
 "Malah kebajikan yang dilakukan turut meliputi guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), bantuan per kapita kepada sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan termasuk sekolah agama rakyat. Itu semua rakyat Pulau Pinang sedia maklum.

"Hanya BN dan penyokongnya tidak nampak kerana mereka dihantui sindrom 'demam tak kebah' selepas rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk mengurus tadbir kerajaan negeri dengan mempromosikan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT)," katanya.

Mansor berkata demikian selepas Majlis Penerangan Pembangunan Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua, dengan dihadiri lebih 1,000 pemimpin masyarakat yang mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) membabitkan Seberang Prai Utara, Seberang Prai Selatan dan Seberang Prai Tengah.

Turut hadir dan memberi ucaptama ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng, diiringi Timbalan Ketua Menteri II, Yang Berhormat Profesor Dr P Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Jait.
Antara pemimpin masyarakat yang memenuhi dewan
 Pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan ahli dewan undangan negeri termasuk ahli majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai juga hadir.

Menurut Mansor, kelakuan orang yang mengalami sindrom 'demam tak kebah' boleh dilihat daripada percakapan dan tindakan mereka.

"Selalunya mereka yang dihidapi sakit demikian akan meracau, merepek dan bercakap di luar normal. Kita yang sihat boleh mendengar tetapi jangan sesekali percaya kerana natijahnya bukan saja memudaratkan diri tetapi juga orang di sekeliling.

"Ubat bagi orang sebegitu ialah 'melenakan' (tidak memberi kuasa lagi) dia agar tidak terus meracau, merepek dan bercakap yang bukan-bukan," katanya.
Sebahagian pemimpin wanita hadir memberi sokongan

 Sebelum itu, dalam ucapannya, Mansor, berkata peranan ahli JKKK setiap komuniti ialah menerangkan dasar kerajaan negeri kepada rakyat terbanyak agar mereka lebih faham dan tahu apa yang dilakukan kepemimpinan untuk kesejahteraan mereka.

"Kepemimpinan negeri dan JKKK saling perlu memerlukan kerana hasil daripada kerja kuat mereka yang terbabit akan membuka mata rakyat menghargai pelbagai program yang dianjurkan kerajaan negeri.

"Usaha berterusan ahli JKKK mendampingi rakyat tanpa mengira latar belakang politik adalah cara mengubah persepsi mereka terhadap keikhlasan kerajaan negeri.

"Selagi dia rakyat Pulau Pinang, selagi itu dia berhak menerima apa saja bantuan daripada kerajaan negeri sekiranya layak," katanya.
(dari kiri) P Ramasamy, Lim Guan Eng, Mansor dan Mokhtar di pentas utama Dewan Besar Sungai Dua, Kepala Batas, Pulau Pinang

Mansor, turut menghargai peranan JKKK sejak 2008 lalu kerana terus komited melaksanakan amanah kerajaan negeri.

"Terima kasih kepada keseluruhan JKKK yang membantu setiap usaha kerajaan negeri melalui penerangan mereka kepada komuniti masing-masing. Jasa dan komitmen anda menjadi pemangkin kepada kerajaan negeri menambahbaik urus tadbir selama ini.

"Jika diibaratkan sepohon pokok, JKKK adalah akarnya yang memperteguh sokongan agar pokok berkenaan terus hidup dan segar," katanya.