Pages

Monday, September 26, 2011

PKR: Pakatan perlu selesai isu hudud dengan rasional

KUALA LUMPUR, 26 Sept — Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Mansor Othman berkata parti komponen Pakatan Rakyat tidak boleh meletakkan emosi dalam menyelesaikan isu berkaitan dengan hukum hudud.

Justeru kata beliau, pelaksanaan undang-undang hudud seharusnya dibincangkan di meja musyawarah Pakatan Rakyat.

“Kita tidak boleh meletakkan emosi di hadapan, tetapi meletakan rasional terlebih dahulu. Perkara ini bukan baru, sebelum kewujudan Pakatan Rakyat, kita telah menyaksikan pertembungan yang serupa,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mansor (gambar) yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, rakyat telah memilih untuk berubah daripada menyokong Barisan Nasional (BN) kepada pentadbiran Pakatan Rakyat pada 2008 dan banyak catatan kejayaan di empat negeri ini telah membuatkan rakyat gembira.

“Namun begitu kita tidak harus berpuas hati. Hakikatnya Pakatan Rakyat telah mentadbir empat negeri dengan jayanya.

“Rakyat sudah merasai nikmat perubahan, kita di Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa kita mampu memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik daripada BN,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu kata Mansor, kepimpinan Pakatan Rakyat harus menginsafi bahawa harapan rakyat terhadap perikatan tiga parti ini sangat tinggi sebagai penganti kepada BN.

Katanya, tidak wajar sekiranya parti-parti komponen Pakatan Rakyat terus terperangkap dengan perkara yang berulang-ulang.

“Tiba masanya kita menginsafi bahawa harapan rakyat yang berada di bahu kita adalah satu tanggungjawab dan amanah yang besar.

“Justeru saya berharap agar pertemuan pemimpin-peminmpin Pakatan Rakyat pada Rabu ini akan digunakan sebaiknya untuk mencari kesepakatan yang terbaik untuk memastikan harapan rakyat yang mahukan Malaysia yang lebih baik terlaksana,” katanya.

Semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan perikatan itu akan bermesyuarat lusa bagi membincangkan isu berkenaan.

Dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PAS berkeras dengan pendirian masing-masing mengenai isu hudud.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-pakatan-perlu-selesai-isu-hudud-dengan-rasional/