Pages

Monday, September 19, 2011

5,000 saksikan perarakan kemerdekaan



BUTTERWORTH 16 Sept. - Lebih 5,000 orang membanjiri Dataran Pemuda dekat sini untuk menyaksikan majlis Perhimpunan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-54 peringkat negeri hari ini.

Sebanyak 100 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kumpulan pancaragam menyertai perarakan itu.




Majlis yang diadakan serentak bersama Hari Malaysia itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Sharif.

Pengunjung juga dipertunjukkan dengan perarakan motosikal berkuasa besar dan kenderaan milik beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pos Malaysia.


Majlis itu turut diserikan dengan bacaan ikrar oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Onn serta persembahan koir oleh pelajar SMK Tunku Abdul Rahman, Nibong Tebal.

Dalam pada itu kontinjen Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengungguli pertandingan perarakan terbaik bagi kategori sektor awam dan Telekom Malaysia muncul juara bagi kategori sektor swasta sementara kontinjen Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi kategori IPT.



Kontinjen lain yang muncul juara adalah Kadet Polis SMK Datuk Haji Ahmad Said, Kepala Batas bagi kategori beruniform dan kadet sementara kontinjen SMJK Jit Sin mengungguli kategori pancaragam.