Pages

Saturday, August 14, 2010

Tiga dibenar berniaga semula di Bazar Chowrasta

2010/08/14

GEORGETOWN: Tiga orang peniaga di Bazar Chowrasta, Jalan Penang di sini dibenarkan berniaga semula selepas lesen perniagaan mereka dibatalkan di saat akhir ketika peniaga lain mula berniaga pada hari pertama Ramadan.

Aminul Haque Nazir Ahmad, 59, berkata Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman, telah memaklumkannya secara lisan bahawa beliau dan dua rakannya, Zainal Abidin Mydin, 44, dan Shairu Banu Abdul Latif, 48, boleh memulakan perniagaan dan lesen mereka akan dikeluarkan Isnin ini.

"Saya terima panggilan telefon dari Mansor pada 11 pagi tadi yang mengatakan kami boleh berniaga. Sebelum ini seorang ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah membelakangkan Mansor dan membatalkan lesen kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aminul Haque mendakwa pembatalan lesen perniagaannya bersama rakannya ada kaitan dengan insiden tahun lalu apabila berlaku kekecohan ketika MPPP cuba menghalau peniaga daripada berniaga di situ.

Katanya, peniaga sudah berniaga di sepanjang tepi jalan itu setiap kali Ramadan sejak 24 tahun lalu tetapi mula dilarang semenjak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan pada 2008.

"Asalnya terdapat kira-kira 70 lot gerai dan jumlahnya semakin berkurangan setiap tahun dan tahun ini hanya 18 lot gerai sahaja yang dibenarkan untuk beroperasi," katanya.

Aminul Haque yang telah mengeluarkan modal perniagaan sebanyak RM60,000 hingga RM70,000 juga kesal dengan tindakan ahli majlis berkenaan yang dianggap tidak profesional dan keadaan itu menjejaskan ekonomi mereka yang berniaga hanya sebulan dalam setiap tahun.

"Sepatutnya MPPP berfungsi sepenuhnya bagi membantu peniaga dan bukan mencampuraduk urusan politik, ini sumber rezeki kami," katanya. - BERNAMA