Pages

Monday, August 23, 2010

LGE ganti Agong: PR P.Pinang kutuk Umno

Written by Harakahdaily
GEORGE TOWN, 22 Ogos: Mesyuarat tergempar Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini memutuskan mengutuk keras tindakan Umno memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah Jumaat.

Tindakan tersebut disifatkan amalan politik kotor dan jahat Umno dan media massa yang dikuasai mereka bagi memfitnah kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Kami menafikan dengan keras dakwaan Umno kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan negeri, JHEAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri", kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Permainan politik oleh Umno itu juga karut kerana hanya orang tak siuman dan berniat jahat sahaja berani menggantikan nama DYMM YDP Agong dengan nama lain.

Kenyataan tersebut ditandatangan oleh Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dato Mansor Othman, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosidi Hussain.

Turut serta pada mesyuarat yang dipengerusikan Lim Guan Eng itu, Ahli Exco Negeri Pulau Pinang yang memegang portfolio agama Islam, Abdul Malik Kassim.

Mereka turut mendesak Umno mengambil tindakan terhadap mana-mana khatib atau imam masjid yang dapat dibuktikan telah mengubah doa tersebut.

"Kita mendesak BN dan Umno hentikan permainan politik kebencian di kalangan orang ramai yang menimbulkan ketegangan kaum dengan cuba mengaitkan imam dan khatib.

Mereka juga melafazkan ikrar taat setia kepada DYMM Yang di Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu mereka juga melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Mereka turut menyatakan komitmen menegakkan Islam sebagai agama rasmi negeri; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni menurut Perkara 5(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Tindakan umno itu juga jelas mereka bagi mengalihkan pandangan rakyat dari kebaikan yang dibuat kerajaan negeri.

Antaranya meluluskan program pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri, pemberian tahunan RM 100 wang penghargaan warga emas.

Selain itu menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 dengan sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR)serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar.