Perutusan Y.B. Tuan Mansor Bin Othman
Ramadan: Bulan Meraih Kemenangan
Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya kepada Allah yang Maha Perkasa. Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kita di atas nikmat dan kurnia daripada-Nya yang telah mempertemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadan yang merupakan bulan penuh berkat. Pada bulan ini jugalah diturunkan kitab suci Al Quran kepada manusia. Allah SWT berfirman dalam Surah Al–Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).”
Walaupun pada bulan ini, kita di wajibkan berpuasa selama sebulan, tetapi janganlah kita mengganggap ianya sebagai bulan kelemahan bagi diri kita atas alasan berpuasa. Ketahuilah bahawa para salafus soleh (tiga generasi terbaik) sedikit pun tidak mengganggap bulan ini sebagai satu bulan kelemahan, bahkan ia di anggap sebagai satu bulan kemenangan. Ini dibuktikan di mana kemenangan yang pertama di raih oleh umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w ialah dalam bulan Ramadan, iaitu ketika dalam peperangan Badar Kubra pada tanggal 17 Ramadan tahun ke 2 Hijrah
Terdapat pelbagai contoh lain yang menunjukan bulan Ramadan merupakan bulan kemenangan dan bukan untuk bermalas-malasan. Antara contoh lain pada bulan Ramadan tahun ke-10 Hijrah, Rasulullah mengutuskan sepasukan tentera Islam yang diketuai oleh Saidina Ali bin Abi Talib ke negeri Yaman dengan membawa bersama perutusan surat Rasulullah. Terdapat satu kabilah yang berpengaruh di sana dengan tanpa paksaan terus menyahut seruan Rasulullah dan menerima Islam sebagai pegangan hidup mereka pada saat itu juga.
Seterusnya, bulan Ramadan tahun 584 Hijrah merupakan tarikh keramat yang amat bersejarah dalam kalendar Islam apabila Solahuddin al-Ayubi bersama angkatan tenteranya berjaya meraih kemenangan besar dalam peperangan Salib. Solahuddin al-Ayubi juga berjaya mengembalikan kota Baitul Maqdis dan bumi Palestin kepada pangkuan umat Islam.
Demikianlah secebis sejarah yang menunjukkan bulan Ramadan bulan untuk kita sama-sama meraih kemenangan. Justeru sempena bulan Ramadan ini marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita dan menambahkan amal ibadat untuk mencapai kemenangan yang hakiki di hari Akhirat nanti. Insyaallah.
Bagi seseorang yang sedang berpuasa itu dua keriangan yang ia bergembira dengannya: pertama ketika dia berbuka puasa, kedua ketika dia bertemu Tuhannya, dia akan bergembira dengan puasanya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)