Wednesday, August 26, 2009
KENYATAAN MEDIA: KEMENANGAN CALON PAKATAN RAKYAT DALAM PRK DUN PERMATANG PASIR
Saya merakamkan rasa syukur kepada Allah SWT di atas kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil DUN N 11 Permatang Pasir, Y.B. Salleh bin Man. Kemenangan ini adalah kemenangan Pakatan Rakyat khususnya Pakatan Rakyat negeri Pulau Pinang.
Ini menunjukkan rakyat khususnya di Permatang Pasir menghargai jasa baik yang telah Kerajaan Negeri Pulau Pinang lakukan dalam usaha membangunkan negeri ini. Ini juga membuktikan bahawa tomahan UMNO dan BN yang mendakwa Pakatan Rakyat meminggirkan Melayu Pulau Pinang adalah tidak berasas sama sekali.
Permatang Pasir merupakan salah satu dari DUN di Parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang. Oleh itu, BN berusaha bersungguh-sungguh untuk mengalahkan calon Pakatan Rakyat dengan hasrat untuk menyekat kemaraan politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Keputusan ini jelas menunjukkan usaha BN untuk mematikan karier politik Dato Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai tuduhan yang mengaibkan sama sekali ditolak oleh rakyat. Malah terbukti rakyat terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Y.B. MANSOR BIN HJ. OTHMAN
TIMBALAN KETUA MENTERI (1)
NEGERI PULAU PINANG
MERANGKAP ADUN PENANTI