Pages

Monday, February 13, 2012

ZIARAH SIMPATI KELUARGA MANGSA KEMALANGAN

Mansor menenteramkan Nordin yang bersedih ketika ziarah simpati di Kampung Padang Ibu, Mukim 20, Penanti.

PENANTI: Sebaik menerima berita kematian ahli satu keluarga dari Kampung Padang Ibu Mukim 20 dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, tanpa berlengah terus melakukan ziarah simpati.

Beliau yang juga Ahli Dun Penanti sanggup membatalkan atau melewatkan jadual padatnya semata-mata mahu turut mengiringi jenazah Fazleen Amirah Nordin, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu Indah, ke tanah perkuburan, di sini.

Mansor, yang diiringi pegawai kerjanya daripada Pejabat Timbalan Ketua Menteri I dan petugas Pusat Khidmat Adun Penanti, dilihat turut sama bersedih dan menyedekahkan doa dan al-fatihah kepada arwah Fazleen Amirah.

Fazleen Amirah, anak bongsu daripada tiga beradik kepada pasangan Nordin Awang, 54, dan Norizan Abdullah, 54, meninggal dunia selepas dirempuh lori batu dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang 31 Januari lalu di persimpangan Taman Guar Perahu, ketika mahu ke kelas tuisyen, dekat sini.

Mansor dan pegawai serta petugasnya sekali lagi melakukan ziarah simpati termasuk menghulurkan sumbangan peribadi kepada Nordin yang terharu di atas kunjungan tidak diduga itu.

"Ketika kami bersedih di atas pemergian ahli keluarga tersayang, dalam masa sama kami juga terharu dengan kehadiran pemimpin negeri khususnya Datuk (Mansor).

"Simpati beliau dan sikap mengambil berat Datuk, walaupun nampak kecil, tetapi bagi kami yang menghadapi situasi sebegini amat bermakna," kata Nordin.

Katanya, Mansor yang juga meluangkan masa hampir sejam bertanya khabar keluarganya, turut berasa sebak dan berkali-kali menzahirkan ucapan bersabar.

"Terima kasih kepada Datuk (Mansor), pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti Padang Ibu, saudara-mara, jiran dan sahabat-handai yang menziarahi kami dan memberi kata semangat.

"Saya dan isteri serta ahli keluarga yang lain reda dengan ketentuan ini dan seperti kata Datuk, Allah menyembunyikan hikmahNya yang tidak kami ketahui.

"Semoga Allah menempatkan arwah (Fazleen Amirah) di kalangan penghuni syurga," katanya.