Pages

Thursday, February 9, 2012

PEMIMPIN PR KEKAL AMANAH

Mansor bersama Lim Soo Nee (dua kanan) dan kepemimpinan lain menggauli makanan tradisi kaum Cina 'yee sang' dalam majlis berkenaan.

KULIM: Selepas sepenggal memerintah, Pakatan Rakyat (PR) yang menguasai Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan membuktikan kecekapan mentadbir sehingga memberikan keselesaan kepada rakyat.

Justeru, bukti itu sekali gus mengetepikan tohmahan pihak berkaitan terutama musuh politik PR iaitu Barisan Nasional (BN) yang sering mempertikaikan kemampuan kepemimpinan beraspirasikan citarasa rakyat itu.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, berkata sepanjang pemerintahan PR tiada bukti pemimpin mengamalkan rasuah atau menyalahgunakan kuasa sebaliknya negeri diurus dengan baik dan secara telus.

"Jangan samakan pemimpin BN dengan PR kerana jurang menggalas amanah rakyat cukup luas. PR menjunjung amanah rakyat namun BN sebaliknya.

"Bagi BN, rakyat hanya didekati ketika pilihanraya hampir tiba manakala pemimpin PR berdamping dengan rakyat, mendengar keluh-kesah mereka, membantu menyelesaikan masalah dan lain-lain lagi dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pesta Ang Pow anjuran Jawatankuasa Biro Masyarakat Cina PKR Kedah Selatan di Dewan Besar CRC, Kulim, Kedah.
Mansor diiringi petugas sebaik selesai berucap di Dewan Besar CRC, Kulim, Kedah.

 Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Yang Berhormat Lim Soo Nee, dan Senator Mustafa Kamal Mohd Yusoff, serta kepemimpinan setempat daripada PAS dan DAP.

Lebih 1,000 pengunjung pelbagai kaum turut memeriahkan pesta berkenaan dan menjamu selera dalam kenduri rakyat itu.

Mansor, berkata kepemimpinan PR terbukti ikhlas dalam mentadbir negeri dengan mengetepikan kronisme, rasuah dan salah guna kuasa.

"Pulau Pinang sendiri mempunyai dasar membantu rakyat seperti contoh memperuntukkan bajet untuk mereka dalam skim anak emas, warga emas dan golongan orang kelainan upaya.

"Secara ringkas, setiap lapisan masyarakat yang kurang berkemampuan di Pulau Pinang menerima sumbangan kerajaan negeri kerana pentadbiran mengutamakan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus," katanya.