Pages

Wednesday, October 26, 2011

PERASMIAN SEKOLAH AGAMA RAKYAT BATU MAUNG



TEKS UCAPAN
YB DATO’ MANSOR BIN OTHMAN,

TIMBALAN KETUA MENTERI PULAU PINANG 1
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
SEKOLAH AGAMA RAKYAT BATU MAUNG
PADA 14 OKTOBER 2011M / 16 ZULKAEDAH 1432H.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, maka pada hari Jumaat yang berbahagia ini, kita dapat sama-sama meluangkan masa untuk berhimpun di sini sempena meraikan Majlis Perasmian Sekolah Agama Rakyat Batu Maung. Saya yakin dan percaya bahawa kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah dengan hati yang penuh tulus ikhlas dan penuh harapan untuk melihat suatu perkembangan pendidikan anak-anak kita yang lebih positif dan lebih baik. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan juga menggambarkan sokongan padu terhadap institusi pendidikan agama di Pulau Pinang. Semoga Allah S.W.T memberkati dan merahmati majlis kita pada hari ini dan juga mempermudahkan segala urusan dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan kepada anak-anak kita pada masa kini dan akan datang.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
2. Pendidikan merupakan sebahagian daripada hak asasi setiap orang. Ibu bapa pula memainkan peranan penting untuk membuat pilihan bagi menentukan corak dan jenis persekolahan yang hendak diberikan kepada anak-anak. Berhubung perkara ini, sebagai seorang Islam, kita semestinya yakin dan percaya bahawa pendidikan agama adalah tunggak kepada kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Dalam Islam, tujuan memperolehi ilmu bukan terbatas kepada kemajuan kehidupan di dunia sahaja, akan tetapi mencakupi alam selepas kehidupan dunia iaitu akhirat. Dalam erti kata lain, ilmu yang dicari itu bukan sahaja dapat memberikan kebahagiaan di dunia tetapi juga di akhirat. Ingatlah kepada peringatan Allah S.W.T sebagaimana firmanNya dalam surah al-Baqarah, ayat 200 yang bermaksud :

“Ada di antara manusia yang (berdoa dengan ) berkata : Wahai Tuhan Kami, berikanlah kepada kami (kebaikan) di dunia. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.”

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan Allah,

3. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya amat mengambil berat dan perihatin terhadap institusi pendidikan agama khususnya sekolah agama rakyat. Merujuk kepada sirah nabawiyyah, pendidikan ummah dimulakan dengan aqidah dan akhlak sehinggakan Baginda S.A.W dapat membentuk suatu generasi hijrah yang kental semangatnya, beretika dan penuh ketaqwaan serta mampu mengharungi apa jua cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Panduan dan pedoman yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W ini tidak akan sesekali diabaikan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha membangun dan memajukan umat Islam. Adalah menjadi matlamat pendidikan Islam untuk membentuk sahsiah pelajar yang baik sehingga dapat menilai antara yang baik dan yang buruk, antara yang benar dan yang batil, antara yang mulia dan yang keji. Menuntut ilmu bukan sekadar untuk mendapatkan sijil atau ijazah semata-mata, akan tetapi untuk difahami dan dihayati dalam kehidupan.

4. Dalam keadaan dunia hari ini yang penuh bercelaru dan menghadapi krisis nilai dan akhlak yang meruncing, Kerajaan Negeri sedar bahwa langkah segera dan lebih proaktif hendaklah diambil oleh kerajaan untuk memberi penekanan kepada pendidikan agama kerana ia membawa impak yang lebih besar kepada pembangunan manusia. Manusia yang mesti kita bangunkan pada hari ini ialah manusia yang tidak melupakan PenciptaNya dan tidak terpengaruh serta terpesona dengan keindahan dunia. Ilmuan yang ingin kita lahirkan ialah ilmuan yang sentiasa mengingati Allah di mana sahaja mereka berada dan tidak ghairah serta tidak bernafsu untuk menguasai dunia dan alam ini demi kepentingan diri sendiri.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

5.Kepimpinan Kerajaan Negeri ingin mengajak semua umat Islam di Malaysia untuk sentiasa mendokong dan menghayati agama dalam kehidupan. Di pihak kerajaan, kita akan berusaha untuk sentiasa meningkatkan jumlah peruntukan dari semasa ke semasa khususnya bagi menampung kos menaiktaraf bangunan dan menyediakan kemudahan serta prasarana yang lengkap dan lebih sempurna kepada sekolah agama rakyat dan lain-lain institusi pendidikan agama. Sebagai contoh, pada hari ini kita dapati Sekolah Agama Rakyat Batu Maung telah dinaiktaraf bangunan dan kemudahannya yang pada asalnya merupakan kelas KAFA di Masjid Batu Maung. Malah banyak lagi catatan kejayaan Kerajaan Negeri dalam usaha memartabadkan Islam di negeri ini. Misalnya penambahan peruntukan untuk agama Islam yang bertambah pada tahun ini sebanyak RM 33.33 juta jika dibandingkan dengan kerajaan terdahulu hanya sebanyak RM 12.5 juta. Malah guru KAFA juga turut menerima manfaat apabila kerajaan negeri memberikan peruntukan sebanyak RM 100,000 yang tidak pernah diberi oleh kerajaan terdahulu. Inilah antara bukti bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang berusaha untuk menjadi sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, yang mendengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan mengembalikan hak rakyat.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Sekolah Agama Rakyat Batu Maung, Pulau Pinang.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.