Naluri kasih sayang ditunjukkan Mansor terhadap bayi ini yang menerima manfaat melalui Program Anak Emas Pulau Pinang |
Kemesraan Mansor tidak mengenal taraf, kedudukan dan kaum |
PRAI: Pemilihan kerajaan negeri yang tepat dan mengutamakan kebajikan rakyat membolehkan penduduk Pulau Pinang menerima manfaat berterusan.
Ini kerana, sejak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat mengurus tadbir Pulau Pinang, banyak dasar kebajikan disalurkan kepada rakyat sekali gus mencerminkan komitmen kepemimpinan negeri bagi mengurangkan beban hidup mereka.
Terbaru, Program Anak Emas yang dilangsungkan di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng Park, di sini, baru-baru ini, membuktikan kesungguhan pemimpin negeri memacu kesejahteraan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, berkata program berkenaan sudah diwar-warkan sejak tahun lalu dengan mensasarkan setiap bayi dilahirkan bermula Januari 2011 layak menerima bantuan 'one-off' daripada kerajaan negeri.
"Syaratnya mudah iaitu ibu atau bapa adalah pengundi di Pulau Pinang yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya. Mereka layak menerima bantuan setiap bayi RM200," katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Tuan Lim Guan Eng, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Datuk Salleh Man.
Mansor, berkata program itu adalah hasil amalan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang membolehkan keuntungan pelaburan kerajaan negeri diagihkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, walaupun ada pihak cemburu dengan kesungguhan dan kejayaan negeri dalam banyak perkara yang dilakukan, kepemimpinan Pulau Pinang tetap dengan hasrat murni iaitu membantu rakyat negeri tanpa mengira kaum.
"Biarkan pihak cemburu dengan kecemburuan mereka. Kerajaan negeri akan terus memartabatkan rakyat kerana percaya mereka boleh menilai pihak mana yang melakukan kebajikan dan pihak mana pula yang cuba meruntuhkannya.
"Dengan dokongan semua pegawai kerajaan negeri dan sokongan rakyat Pulau Pinang, kepemimpinan negeri komited membela mereka kerana pembangunan dan kemajuan yang dinikmati bersama kini adalah hasil amalan CAT sejak 2008 lalu," katanya.
Mansor yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa, Pengurusan Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, berkata antara kebajikan yang sudah dilaksanakan kerajaan negeri ialah bantuan wang tunai RM100 setiap tahun untuk golongan Orang Kelainan Upaya, warga emas dan ibu tunggal.
Sementara bagi waris ahli keluarga yang meninggal dunia menerima wang tunai RM1,000 untuk mengurangkan beban menguruskan jenazah.
"Kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan untuk pelajar sekolah iaitu RM100 setahun untuk mereka yang berada di Tahun 1 dan 4 serta Tingkatan 1 dan 4 manakala 'one-off' RM1,000 bagi penuntut universiti yang pendapatan seisi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang, berkata kepemimpinan negeri tidak akan berhenti dalam mengutamakan kebajikan rakyat kerana ia amanah yang mesti dilaksanakan.
"Sebuah kerajaan negeri yang baik dan cemerlang ialah kerajaan yang dekat di hati rakyat. Apa yang kita cakap kita buat. Ini yang rakyat suka dan sokong. Kepemimpinan negeri amat berbangga mempunyai rakyat yang bijak menilai intan daripada kaca," katanya.