Pages

Sunday, January 29, 2012

GENERASI MUDA PENILAI KRITIS

Generasi muda kaum Cina mudah mendekati Mansor

KAMPUNG SUNGAI LEMBU: Golongan muda pelbagai kaum mula melihat peranan mereka dalam usaha menentang ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu digiat dan diteruskan semaksimum mungkin.

Tanpa perlu mendengar segala retorik yang dibawakan BN, golongan muda pelapis negara lebih menilai sesuatu isu dengan mata hati dan akal fikiran segar sekali gus mengelak mereka diumpamakan 'katak di bawah tempurung'.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Datuk Mansor Othman, berkata kini golongan itu berjaya membuktikan kelompok mereka bukan boleh diibaratkan seperti 'lembu di cucuk hidung' yang boleh diperbodoh dan diperdaya.

"Tempias itu bukan saja dirasai golongan muda yang berintelektualiti malah meresap kepada sebahagian mereka yang tinggal di kampung.

"Ini kerana, dunia tanpa sempadan membolehkan mereka menatap pelbagai isu dalam segenap sudut dan pelbagai persepsi. Ia menuntut ketajaman akal menilai sesuatu isu. Dalam hal ini, mereka berjaya menembus tembok pemikiran lapuk," katanya.

Beliau berucap demikian ketika diberi penghormatan sebagai tetamu khas dalam Majlis Jamuan Tahun Baru Cina 2012 di Kampung Sungai Lembu, Penanti, di sini.

Turut hadir ialah Pengarah Biro Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Cheah Kah Peng, dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Sungai Lembu, Tan Sing Lee.

Mansor yang juga Pengerusi KEADILAN negeri, berkata Pakatan Rakyat (PR) konsisten melaungkan slogan politik Malaysia yang dihuni pelbagai kaum berbanding BN yang lebih suka bercakap politik kaum.

"PR gigih membina keharmonian kaum namun BN pula turut gigih meruntuhkannnya. Rakyat bijak sudah tentu menolak politik kaum yang dimainkan BN secara berterusan.

"Justeru, golongan muda pelbagai kaum yang tajam akal fikiran dan matang dalam menilai isu lebih condong menyokong pemimpin yang mahukan keharmonian,' katanya.

Friday, January 27, 2012

RAKYAT PULAU PINANG AMAL POLITIK CERDIK

Mohamad Sabu ketika bertemu Mansor
GEORGETOWN: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang lebih terkenal dengan Mat Sabu, optimis Pulau Pinang kekal ditadbir Pakatan Rakyat (PR) selepas Pilihanraya Umum Ke-13.

Ini berdasarkan pembudayaan politik cerdik yang mula diamalkan rakyat di negeri ini selepas melihat kecemerlangan pemerintahan PR diketuai DAP sebaik mengambil-alih tampuk pentadbiran daripada kerajaan terdahulu bermula 2008.

"Asas kerajaan negeri diterima rakyat ialah pentadbiran yang berkualiti, cekap dan mengutamakan rakyat dalam soal kebajikan.

"Itu yang diamalkan kerajaan PR di Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sejak 2008 lalu, yang mula menambat hati rakyat seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat kunjungan hormat terhadap Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, di pejabatnya, di sini.

Mohamad, berkata pendekatan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang menjadi dasar pentadbiran Pulau Pinang berjaya merubah set minda rakyat agar boleh berfikir di luar kotak tanpa perlu dikongkong dengan sayembara lapuk kerajaan terdahulu.

Kemesraan terpamer pada wajah Mohamad dan Mansor

Thursday, January 26, 2012

CITARASA RAKYAT BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Amizuddin Ahmat (Sharpshooter) mengendalikan kursus Paca


PENANTI: Walaupun citarasa rakyat Pulau Pinang memihak kepada Pakatan Rakyat (PR), petugas tiga parti di dalamnya harus terus mengorak langkah mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri sekarang.

Ini kerana, musuh politik PR akan sentiasa menjadi pengacau bagi menggagalkan komitmen kerajaan negeri membantu rakyat keseluruhannya.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, berkata petugas gabungan ketiga-tiga parti dalam PR mesti saling terus bekerjasama dengan matlamat utama menangkis cubaan musuh politik yang terlalu terdesak kehilangan kuasa.

“Tanpa mengira sama ada daripada Parti Keadilan Rakyat, PAS atau DAP, kerjasama erat perlu terus diperkukuhkan demi rakyat Pulau Pinang yang mengamanahkan negeri ini untuk ditadbir PR.

“Justeru, kerja keras secara berterusan mesti menjadi agenda kita dalam usaha menakluk Putrajaya seusai Pilihanraya Umum Ke-13 nanti,” katanya.

Mansor meniupkan semangat kepada petugas Paca


Beliau memberi perangsang berkenaan ketika berucap di hadapan lebih 70 petugas Polling Agent dan Counting Agent (Paca) PR dalam Kursus Paca di Yayasan Aman, Penanti.

Kursus itu dipimpin Amizuddin Ahmat atau Sharpshooter yang bertanggungjawab mengenalkan modul dan memahamkan petugas dengan peranan masing-masing.

Turut hadir Pembantu Khas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zainol Abidin Saad.

Mansor, berkata petugas Paca memainkan peranan penting dalam menilai sokongan pengundi dan perlu bersedia berhadapan dengan manipulasi pihak lawan dalam mengeksploitasi undi.

“Petugas Paca bukan saja perlu bersemangat tetapi juga mereka seharusnya mempunyai ilmu bantu bagi menghalang sebarang salahguna proses demokrasi melalui pengundian.

“Justeru, melalui kursus ini pendedahan kepada petugas diharap lebih menyeluruh dan berguna dalam menyuburkan demokrasi sebelum dan ketika proses pengundian dilakukan,” katanya.

Antara petugas Paca yang bakal merealisasikan harapan rakyat Pulau Pinang

Tuesday, January 24, 2012

RM500 JUTA UNTUK RUMAH MAMPU MILIK

Datuk Mansor Othman
GEORGETOWN: Pulau Pinang muncul negeri pertama memperuntukkan jumlah terbesar bagi pembinaan rumah mampu milik untuk tahun 2012.

Peruntukan sebanyak RM500 juta khusus bagi Dana Perumahan Mampu Milik itu adalah membabitkan semua kaum di negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, berkata peruntukan itu membabitkan 15,000 unit rumah mampu milik yang akan dilaksanakan di Bandar Batu Kawan.

"Ia berharga antara RM72,000 hingga RM220,000 seunit di lokasi terbabit yang berkeluasan 200 ekar. Projek ini membuktikan lagi kerajaan negeri prihatin mewujudkan institusi keluarga yang sempurna.

"Sejak mengambil-alih pentadbiran Pulau Pinang pada 2008, kerajaan negeri sudah mewujudkan lebih 1,500 unit rumah mampu milik di seluruh Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)," katanya.

Beliau, berkata ia berjaya dilaksanakan kerana kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mencatatkan lebihan (surplus) dalam belanjawan negeri.

Mansor, berkata berbanding kerajaan terdahulu, kerajaan PR negeri membuktikan kecekapan pentadbiran seawal tahun pertama memerintah iaitu berjaya menjimatkan sebanyak RM88 juta daripada belanjawan negeri.

"Sebab itu kita yakin untuk mewujudkan rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang yang sebelum ini sering mengeluh dan meratap nasib ekoran kebajikan mereka diketepikan pemerintah terdahulu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mansor, berkata kerajaan PR Pulau Pinang komited menjadi negeri pertama di Malaysia berjaya membasmi kemiskinan menjelang 2015.

"Komitmen itu berdasarkan Pulau Pinang sudah berjaya menghapuskan kemiskinan tegar dengan menetapkan pendapatan minimum RM600 sebulan mulai awal 2012 bagi setiap rakyat di negeri ini.

"Untuk melengkapkan pendapatan RM600 sebulan itu, ia akan disusuli dengan bantuan kebajikan lain dan diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri," katanya.

Mansor, berkata antara bantuan kebajikan yang dilaksanakan menjurus terus kepada golongan sasar seperti warga emas, anak emas dan golongan orang kelainan upaya.

"Kita mempunyai rekod pentadbiran yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Ia diakui sendiri Ketua Audit Negara.

"Jika ada suara sumbang menuduh itu dan ini, membangkitkan isu yang remeh-temeh, menimbulkan kekeliruan yang nyata, anggap saja pihak berkenaan dangkal fakta. Untuk golongan berkenaan, biarkan mereka terjun dengan labu-labunya," katanya.

Sunday, January 22, 2012

JANGAN PERLEKEH MAHASISWA

Mansor menggunakan pendekatan perbincangan ilmiah dengan wakil mahasiswa

GEORGETOWN: Mahasiswa adalah golongan yang perlu diberi perhatian sewajarnya kerana daya keintelektualan mereka amat berguna dalam pembangunan negara dan negeri.

Mereka bukan saja permata malah diibaratkan juga sebagai kumpulan pemikir yang bakal mencorakkan masa depan negara dengan pelbagai disiplin ilmu yang dimiliki.

Demikian kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, ketika menerima kunjungan terima kasih daripada dua wakil Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Gong Badak, Terengganu, di pejabatnya baru-baru ini.

Dua mahasiswa itu ialah Presiden Majlis Perundingan Mahasiswa Unisza di Pulau Pinang, Muhammad Amirrul Kamaruddin, dan wakil Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam universiti berkenaan, Mohd Zulkarnain Mehamat@Mohamad.

Kunjungan itu sebagai membalas keprihatinan Mansor yang hadir di Unisza untuk merasmikan upacara penutupan Karnival Mahasiswa Islam Kali Ke-2 Disember tahun lalu.

Mansor memberi perangsang kepada wakil mahasiswa


Mansor, berkata sikap segelintir pihak memandang remeh tahap keupayaan mahasiswa berfikir sebenarnya boleh mengundang kesilapan besar sekali gus mencerminkan kedangkalan pihak itu sendiri.

"Mereka (mahasiswa) ini terdedah dengan pelbagai sumber dan disiplin ilmu. Jangan sombong dengan merendahkan mereka sebagai 'budak sekolah'. Suara mereka adalah hasrat yang mewakili semua rakan di universiti di Malaysia.

"Mahasiswa yang cergas, cerdas dan bijaksana serta mempunyai jati diri yang utuh adalah mahasiswa yang sering berkata tidak kepada kezaliman dan ketidakadilan," katanya.

Beliau, berkata golongan mahasiswa sedemikian adalah golongan yang sentiasa peka dengan sesuatu isu dan gerakan perkumpulan mereka memperjuangkannya adalah semata-mata untuk kemaslahatan semua penuntut universiti.

"Mereka adalah pelapis kepemimpinan negara atau negeri satu hari nanti. Mereka sangat tahu membezakan mana yang baik atau sebaliknya. Mereka berdiri dengan iltizam tinggi mahu melihat negara yang dicintai tidak berterusan disalahtadbir," katanya.

Mansor menerima plag penghargaan daripada Muhammad Amirrul (kanan) sambil diperhati Mohd Zulkarnain

Friday, January 20, 2012

RAKYAT PULAU PINANG TERIMA MANFAAT

Naluri kasih sayang ditunjukkan Mansor terhadap bayi ini yang menerima manfaat melalui Program Anak Emas Pulau Pinang
Kemesraan Mansor tidak mengenal taraf, kedudukan dan kaum
Antara penerima sumbangan kerajaan negeri bergambar bersama Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Lim Guan Eng (dua kiri) dan Mansor (tiga kanan) di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng Park, Prai


PRAI: Pemilihan kerajaan negeri yang tepat dan mengutamakan kebajikan rakyat membolehkan penduduk Pulau Pinang menerima manfaat berterusan.

Ini kerana, sejak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat mengurus tadbir Pulau Pinang, banyak dasar kebajikan disalurkan kepada rakyat sekali gus mencerminkan komitmen kepemimpinan negeri bagi mengurangkan beban hidup mereka.

Terbaru, Program Anak Emas yang dilangsungkan di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng Park, di sini, baru-baru ini, membuktikan kesungguhan pemimpin negeri memacu kesejahteraan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, berkata program berkenaan sudah diwar-warkan sejak tahun lalu dengan mensasarkan setiap bayi dilahirkan bermula Januari 2011 layak menerima bantuan 'one-off' daripada kerajaan negeri.

"Syaratnya mudah iaitu ibu atau bapa adalah pengundi di Pulau Pinang yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya. Mereka layak menerima bantuan setiap bayi RM200," katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Tuan Lim Guan Eng, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Datuk Salleh Man.

Mansor, berkata program itu adalah hasil amalan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang membolehkan keuntungan pelaburan kerajaan negeri diagihkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, walaupun ada pihak cemburu dengan kesungguhan dan kejayaan negeri dalam banyak perkara yang dilakukan, kepemimpinan Pulau Pinang tetap dengan hasrat murni iaitu membantu rakyat negeri tanpa mengira kaum.

"Biarkan pihak cemburu dengan kecemburuan mereka. Kerajaan negeri akan terus memartabatkan rakyat kerana percaya mereka boleh menilai pihak mana yang melakukan kebajikan dan pihak mana pula yang cuba meruntuhkannya.

"Dengan dokongan semua pegawai kerajaan negeri dan sokongan rakyat Pulau Pinang, kepemimpinan negeri komited membela mereka kerana pembangunan dan kemajuan yang dinikmati bersama kini adalah hasil amalan CAT sejak 2008 lalu," katanya.

Mansor yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa, Pengurusan Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, berkata antara kebajikan yang sudah dilaksanakan kerajaan negeri ialah bantuan wang tunai RM100 setiap tahun untuk golongan Orang Kelainan Upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Sementara bagi waris ahli keluarga yang meninggal dunia menerima wang tunai RM1,000 untuk mengurangkan beban menguruskan jenazah.

"Kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan untuk pelajar sekolah iaitu RM100 setahun untuk mereka yang berada di Tahun 1 dan 4 serta Tingkatan 1 dan 4 manakala 'one-off' RM1,000 bagi penuntut universiti yang pendapatan seisi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang, berkata kepemimpinan negeri tidak akan berhenti dalam mengutamakan kebajikan rakyat kerana ia amanah yang mesti dilaksanakan.

"Sebuah kerajaan negeri yang baik dan cemerlang ialah kerajaan yang dekat di hati rakyat. Apa yang kita cakap kita buat. Ini yang rakyat suka dan sokong. Kepemimpinan negeri amat berbangga mempunyai rakyat yang bijak menilai intan daripada kaca," katanya.

Monday, January 16, 2012

KERAJAAN NEGERI UTAMAKAN RAKYAT PELBAGAI KAUM

Mansor menyantuni kanak-kanak yang teruja mengakses internet
Mansor menyampaikan sumbangan kepada wakil penduduk
Bersama penduduk dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti Kampung Padang Lembu
Mansor memberi amanat dan ucapan serta penghargaan kepada hadirin

KAMPUNG PADANG LEMBU: Berhasrat melihat penduduk terutama generasi muda Pulau Pinang celik maklumat, kerajaan negeri komited mengusahakan dunia tanpa sempadan iaitu penyediaan wifi secara percuma.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, berkata penyediaan wifi percuma itu diharap membantu penduduk Pulau Pinang lebih bermaklumat dan sentiasa bersedia dengan perkara-perkara baru.

"Kita mahu melihat penduduk negeri bergerak seiring dengan ledakan maklumat. Dengan itu, mereka tidak mudah terpedaya dengan khabar angin sebaliknya boleh melihat sesuatu isu dalam pelbagai sudut sekali gus menuntut kebijaksanaan mereka dalam menilai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pemasangan wifi percuma untuk komuniti di Kampung Padang Lembu, Penanti, dan turut menyumbangkan lima komputer dan pencetak bernilai RM5,000.

Dalam majlis itu, beliau juga menyampaikan hamper dan ang pau sempena sambutan Tahun Baru Cina kepada warga kampung berkenaan.

"Tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Padang Lembu dalam usaha mereka memperkenalkan pentadbiran kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan rakyatnya.

"Untuk rekod, kerajaan negeri akan terus membantu rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum. Usaha berkenaan sudah dilakukan sejak 2008 hingga kini. Saya percaya, rakyat Pulau Pinang boleh menilai dan sekali gus mengetepikan segala fitnah pihak tertentu yang cuba memberi gambaran buruk terhadap kita," katanya.

Thursday, January 12, 2012

Saudara Abdul Malik (dua dari kanan) terharu dengan kunjungan dan prihatin ditunjukkan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman
   

MENZIARAHI MANGSA KEBAKARAN

KAMPUNG KUBANG ULU: Kunjungan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, membuatkan mangsa kebakaran di Kampung Kubang Ulu, Penanti, Abdul Malik Ahmad, 42, berasa sebak dan terharu.

Ini kerana, keprihatinan Mansor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti itu menyentuh perasaan Abdul Malik yang kini hilang tempat berlindung ekoran rumah dua tingkatnya hangus dalam kebakaran pada Selasa lalu kira-kira jam 11 malam.

Menurut Abdul Malik, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja manakala isterinya, Natitah Ibrahim, 37, dan dua anak mereka, Muhammad Imran, 9, dan Fitri Umi Azira, 4, menumpang tidur di rumah saudaranya yang berdekatan.

"Walaupun rumah musnah bersekali dokumen lain seperti surat beranak dan sijil nikah, namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat. Saya berasa sedih atas kejadian ini namun menerimanya sebagai takdir.

"Kehadiran Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor, yang memberi kata perangsang menghidupkan semula semangat saya. Biar pun sibuk dengan urusan pentadbiran negeri, beliau masih sempat menjenguk dan bertanya khabar selain menyampaikan bantuan serta-merta terhadap kami sekeluarga.

"Apa yang kami mampu lakukan ialah mengucapkan terima kasih atas jasa baik dan sikap murni yang ditunjukkan kerajaan negeri melalui Datuk (Mansor)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mansor, berkata bantuan disalurkan kepada Abdul Malik melalui agensi kerajaan negeri seperti Pusat Urus Zakat dan Pejabat Daerah Seberang Prai Tengah.

"Dasar kerajaan negeri melalui wakil rakyat adalah membantu komuniti sesuatu penempatan yang dtimpa musibah. Peranan ini akan terus dilakukan kerana ia menjadi tanggungjawab kerajaan negeri yang mengamalkan pengurusan cekap, telus dan berkredibiliti," katanya.

Mansor, yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa, Pengurusan Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, memuji dan mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti yang melakukan tugas dengan berkesan.