Pages

Thursday, June 30, 2011

Thursday, June 9, 2011

Mansor lancar kempen tanam pokok "Hijaukan Bumi Pulau Pinang"

Acara perasmian Kempen Tanam Pokok Peringkat Seberang Perai Tengah

 

Timbalan Ketua Menteri (1) Dato' Mansor Othman hari ini melancarkan Kempen Tanam Pokok Peringkat Seberang  Perai Tengah di atas 72,000 kaki persegi tanah milik kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

 

Pelancaran tersebut katanya merupakan kesinambungan pada kempen  "Hijaukan Bumi Pulau Pinang"  yang dilaksanakan sebelum ini supaya rakyat di negeri perindustrian itu boleh terus menikmati kelestarian alam sekitar.

 

"Untuk menjadi negeri paling maju di rantau ini, tak cukup kita (Pulau Pinang) mempunyai prasarana perindustrian yang maju, kita (Pulau Pinang) perlu juga ada kualiti alam sekitar yang lestari.

 

"Kalau boleh, kempen (tanam pokok) yang akan dilaksanakan oleh MPPP ini perlu dapat penyertaan  rakyat sendiri secara sukarela dan budaya ini perlu digerakkan bersama," ujar Mansor di perkarangan tanah lapang berhampiran Balai Polis Seberang Jaya, di sini.

 

Senator Mustafa yang lebih dikenali sebagai Pak Mus turut melengkapkan majlis kempen tanam pokok di sini.

 

Justeru Adun Penanti itu berkata, budaya lestari alam sekitar itu tidak mungkin berjaya melainkan memerlukan perubahan paradigma semua pihak.

 

"Kita kene ubah cara fikir kita, tak cukup dengan kempen atau kuat kuasa undang-undang.

 

"Ubah cara fikir kita macam rakyat di negera-negara maju (iaitu) jaga alam sekitar dianggap satu 'status yang mulia' dalam masyarakat."

 

"Budaya tanam pokok di rumah (serta) kampung halaman kita wajar dianggap sebagai  suatu  'status yang mulia'  dalam diri kita masing-masing seperti rakyat di negera-negera maju," beliau menambah.

 

"Ubah cara fikir kita macam rakyat di negera-negara maju (iaitu) jaga alam sekitar dianggap satu 'status yang mulia' dalam masyarakat."

 

Bercakap di depan lebih 50 hadirin, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong kempen   "Tiada Plastik Beg Percuma"  di pasar raya yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng sejak 1 Januari lalu.

 

Mansor turut memuji usaha agresif JPS memulihara sungai di negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu dengan menggunakan teknologi moden seperti  "Effective Mudball"  (gambar kanan) atau  "bola lumpur yang digunakan untuk nyah sampah"  bagi merawat air sungai di negeri ini.

 

"Dulu Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) kata Pulau Pinang ini  'negeri sampah'  kerana sungai-sungai kita kotor dan penuh dengan sampah.

 

"Saya diberitahu bahawa hari ini sungai-sungai di sekitar Pulau Pinang pun kian bersih kerana usaha JPS guna teknologi terkini (iaitu) 'Effective Mudball'," beliau menambah.

 

Dari Kanan: Datuk Tan, Roslan, Dato' Mansor, Senator Mustafa Kamal dan wakil Jurutera JPS.

 

Turut hadir, Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Tan Hock Leong, Roslan Yahaya (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah), Senator Mustafa Kamal Mohd Yusoff, Johari Kassim (Ketua Penerangan PKR Negeri) (gambar bawah), Abdul Jalil Che Ros (Penyelaras DUN Seberang Jaya) dan wakil Jurutera JPS.

 

Johari Kassim antara yang hadir menyokong iltizam politik Mansor.

 

Dalam perkembangan lain, Mansor turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pak Umaq, aktivis veteran PKR era Reformasi 1998 merangkap penasihat Pakatan Rakyat pada detik 10 malam semalam di Sungai Rusa, Balik Pulau.

 

Mansor yang juga Naib Presiden PKR merangkap Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang dalam ucapannya meminta keluarga Pak Umar supaya bersabar dengan ketentuan Ilahi tersebut. -END


sumber: mansorothman.com

Warung kopi jadi tempat mesra rakyat *


http://mansorothman.com


Pengalamannya sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim sehingga 1998 merupakan bekal yang berharga waktu dipilih menjadi Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang bermula pada tanggal 3 Jun 2009 lalu.


Tak sampai usia dua tahun menjadi orang no.2 dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng, namanya telah menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang diwakilinya.


Kalau bertanya sendiri kepada tuan punya badan, Dato' Mansor Haji Othman, pencapaian dan sumbangan yang telah dirakyatkan masih belum memadai.


Tak cukup hari bekerja dari Isnin hingga Jumaat, hari cuti, Sabtu dan Ahad turut dipenuhi dengan program-program kebajikan dan kemasyarakatan dengan rakyat.


Pengalaman seharian mendampingi Mansor pada Ahad, 22 Mei lalu cukup berharga. 7 pagi lagi Mansor sudah keluar dari rumahnya di Taman Sri Nibong walaupun program gotong royong di Penanti dijadualkan pada jam 8.30 pagi.


Telatah 'orang lama' di warung kopi dengan pelbagai cerita jenaka menghiburkan


Kata Mansor, seorang wakil rakyat bukan sahaja perlu disiplin dengan masanya, bahkan perlu menggunakan masa sebaik mungkin untuk berkhidmat dengan rakyat.


"Kalau saya keluar awal dari rumah, saya boleh bertandang ke mana-mana kedai kopi untuk meramahi rakyat di samping mendengar respons mereka mengenai gerak kerja (perkhidmatan) kita," ujar Mansor.


Tandang Mansor di warung kopi di sekitar Dun Penanti dijadikan tempat rakyat berkongsi cerita masing-masing.


Budaya minum di warung pada setiap pagi tak kira hari bekerja atau cuti digunakan sebaik mungkin oleh rakyat di kawasannya untuk berkongsi cerita dengan Mansor.


Mansor kemudiannya menyertai program Gotong-Royong Perdana di perkarangan Dewan Kampung Taman Baru, DUN Seberang Jaya dalam Parlimen Permatang Pauh bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Jalan Hussain Onn.


Ada saja jenaka 'orang lama' Kampung Taman Baru apabila disapa Mansor.


Sukarelawan dari Majlis Perbandaran Seberang Perai Tengah (MPSP) turut menyertai program kemasyarakatan membersihkan kawasan parit supaya bebas dari wabak denggi.


Kata Mansor, JKKK era kerajaan baru Pulau Pinang bukan sahaja wajar menjadi juara dalam program kemasyarakatan, bahkan perlu menggerakkan program-program berunsur pendidikan atau keagamaan.


"Kalau boleh JKKK kita di sini anjur Forum Perdana Hal Ehwal Islam dengan kerjasama MAIPP (Majlis Agama Islam Pulau Pinang) dan Pejabat Daerah (dan Tanah, SPT).


"JKKK bukan Islam pun perlu dekati dan aktif di rumah-rumah ibadat. InsyaAllah, jawatankuasa baru persatuan qaryah masjid sesi 2011/12 Jun ini akan diadakan secara pilihan raya supaya kita semua berlumba-lumba buat kebaikan," ujar Mansor sebagaimana dipetik di blog peribadinya, http://mansorothman.com.


"Jadi timbalan ketua menteri 1 bukan alasan untuk saya tak ambil tahu tentang cara guna mesin rumput," seloroh Mansor di majlis gotong-royong di Penanti," seloroh Mansor kepada seorang sukarelawan di pejabat PKR Cabang Permatang Pasir.


Lebih 100 sukarelawan, termasuk dari Team Amal Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyertai program gotong-royong sehingga Zohor.


Mansor diminta mempertimbang untuk membina sebuah gelangga futsal dan badminton di Kampung Taman Baru kerana penduduk setempat telah memohonnya sejak era Umno Barisan Nasional memerintah negeri lagi, namun tidak ditunaikan oleh wakil rakyatnya, Dato' Arif Shah Omar Shah sehingga kini.


Mansor selain meminta JKKK segerakan menghantar proposal bajet ke pejabat Daerah dan Tanah, turut mengarahkan pegawainya Abang Non untuk memastikan hasrat penduduk tempatan itu direalisasikan.


Pada sebelah tengah hari, Mansor bergegas pula ke KOMTAR menyertai Lim Guan Eng menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang SPM 2010.


Mansor bersama Ketua Menteri Pulau Pinang LIm Guan Eng pada Majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang Pelajar-Pelajar Cemerlang 2010 di KOMTAR


Lebih 100 pelajar, sebahagiannya Melayu diraikan oleh kerajaan negeri dalam majlis penuh kemeriahan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).


Mansor dalam satu kenyataan media merakamkan penghargaan kepada dua pelajar Melayu yang menduduki senarai 10 pelajar terbaik di peringkat negeri.


"Kalau tahun ini, 2 pelajar kita telah membuktikan kecemerlangan masing-masing, kalau boleh 20 pelajar Melayu kita terbaik untuk SPM 2011 tahun depan.


"Saya nak dari kalangan mereka ini datang dari Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Bantuan Negeri (SABN), insyaAllah," ujarnya.


Tak lama di Komtar, Mansor bergegas pula ke Batu Maung - Dun yang diwakili oleh Tuan Abdul Malik bin Abu Kassim - untuk perasmian penutup Program Gerak Kerja Perdana Bersama Rakyat Daerah Barat Daya 2011 yang dijadualkan jam 2 petang.


Di majlis tersebut, Mansor sempat menyertai acara sukaneka berkeluarga bersama rakyat setempat di samping mengadakan lawatan ke gerai-gerai agensi kerajaan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang kebanyakannya menerima partisipasi orang-orang Melayu.


Mansor melawat booth pameran iKS di Program Gerak Kerja Perdana Rakyat di Batu Maung


Mansor ketika berucap di pentas perasmian mengajak rakyat khususnya komuniti Melayu supaya menceburi gerakan Koperasi kerana mempunyai prospek yang cerah.


"(Koperasi) Royal Cosun di Belanda boleh bergabung dengan beberapa koperasi sehingga jadi pengeluar gula dan produk berasas gula terbesar di Belanda dan memainkan peranan penting di Kesatuan Eropah.


"Tak cukup kita (Pulau Pinang) ada lebih 500 koperasi, kalau Melayu tak ambil peluang tubuh koperasi dan lakukan penggabungan (koperasi) macam di Belanda untuk agenda ekonomi bangsa," ujar Mansor di majlis yang dihadiri lebih 300 penduduk tempatan.


Mansor kemudiannya bergegas pulang ke kawasannya, iaitu DUN Penanti bagi menyempurnakan majlis penyerahan sijil pra-perkahwinan selama dua hari kepada lebih 64 pasangan yang kebanyakannya anak muda tempatan.

Mansor ketika berucap pada majlis perasmian penutup di Yayasan Aman melontarkan cadangan kepada pihak berwajib, termasuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk menganjurkan perkahwinan berkelompok untuk memudahkan generasi muda membina 'masjid'.


"Kalau boleh, kita bincang dan adakan kahwin pakej berkelompok supaya anak-anak muda kita boleh hidup secara sihat, jauh dari gejala negatif," ujarnya disambut tepuk tangan mereka yang hadir.


Mansor di majlis perasmian penutup Kursus Perkahwinan, Dun Penanti


Walaupun Mansor mempunyai iltizam politik "Memartabatkan Agenda Bangsa", tidak bermakna beliau seorang yang cauvenis seperti yang rakyat lihat pada kebanyakan pemimpin Umno dan Pertubuhan Perkasa Bumiputera (Perkasa) hari ini.


Sekitar jam 8 malam, Mansor menyertai komuniti warga emas di Balai Raya Kampung Sungai Lembu sempena sambutan Hari Ibu Sedunia yang jatuh pada tanggal 8 Mei 2011.


Mansor memotong kek meraikan kaum ibu sempena Hari Ibu Sedunia


Lebih 20 kaum ibu diraikan pada majlis tersebut dengan upacara memotong kek gergasi oleh Mansor sendiri.


Mansor menjadi perhatian kerana beliau tak segan memotong kek lalu diserahkan pada setiap ibu di kampung tersebut.


Paling menarik, beliau turut menyuapkan kek ke mulut warga emas paling tua di kampung itu.

"Semua ibu di sini adalah sebaya dengan ibu saya, jadi walaupun rambut saya kelihatan sedikit beruban, maka tak salah jika saya memanggil semua di depan saya ini sebagai 'ibu'," seloroh Mansor disambut gelak-ketawa mereka yang hadir.


Mansor meramahi ibu paling tua di Kampung Sungai Lembu.


Dalam ucapan tersebut, Mansor turut meminta pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah tanah tanpa geran oleh kebanyakan komuniti Cina di sini, yang acap kali dijadikan modal Barisan Nasional khususnya MCA pada setiap kali musim pilihan raya.


"Boleh kata setiap kali pilihan raya, masyarakat Cina di sini diugut. Kita akan cari jalan.

Berpuluh tahun kampung ini diduduki, takkan Umno, MCA atau BN nak kata orang kampung ini masih tidak berhak memiliki tanah ini," ujarnya.


9.30 malam, Mansor bergegas juga ke Bukit Tengah untuk meraikan Majlis Jamuan Makan Malam & Suntikan Semangat kepada semua JKKK di Dun tersebut.


Program itu dianjurkan sendiri oleh Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen. Pemimpin-pemimpin setempat dari PKR, DAP dan PAS turut diraikan dalam majlis itu.


JKKK Batu Kawan bersatu hati mahu melaksanakan agenda perubahan bersama-sama kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat


Mansor selain merakamkan penghargaan atas JKKK yang baru dilantik, turut meminta jawatankuasa berwajib menyertai proses pilihan raya yang akan diadakan di setiap persatuan anak-anak qaryah masjid Pulau Pinang.


"Kalau kita (JKKK) dah jadi juara dalam aktiviti kemasyarakatan, kita kena juga aktif dan sertai pilihan raya untuk pilih jawatankuasa masjid yang baru.


"Kita tak mahu urus masjid ikut cara Umno dengan lantik mereka yang hanya menjaga kepentingan politik pemerintah, kita nak anak qaryah sendiri pilih mereka yang layak supaya masjid kita makmur dengan ceramah, kuliah agama dan forum isu semasa.


"JKKK bukan Islam pun kena dekati rumah ibadat, kita kena tunjukkan yang urus tadbir kita jauh lebih baik dari kerajaan (negeri) sebelum ini," tegas beliau.


Lewat jam 11.30 juga program keraian itu selesai.


Mansor ditanya, "ada lagikah program selepas ini?"


"Kalau ada pun, kita kene pergi supaya harapan rakyat kepada kita tidak dihampakan," jawab beliau kepada saya ketika dalam perjalanan pulang. -END

___________________

* Artikel ini ditulis oleh Zainulfaqar Yaacob, Pegawai Media kepada Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang untuk akhbar Buletin Mutiara edisi Julai 2011

Monday, June 6, 2011

JKKK wajar jadi 'telinga dan mata' kerajaan negeri tingkat khidmat untuk rakyat, kata Mansor


sumber: http://mansorothman.com/

BUKIT MERTAJAM Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) sendiri wajar menjadi "telinga dan mata" dalam membantu kerajaan negeri meningkatkan perkhidmatan untuk rakyat selain menerangkan mengenai usaha pembaharuan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat selama 3 tahun mentadbir Pulau Pinang, kata Mansor Othman.

Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang itu berucap demikian di depan lebih 120 pemimpin peringkat tempatan di Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan JKKK kerajaan peringkat Seberang Prai Tengah (SBT) sesi 2011/2012.

Pegawai Daerah SBT, Tuan Roslan Yahaya turut berucap di majlis tersebut. Taklimat dari beberapa agensi dan jabatan kerajaan dijadualkan berlangsung pada sebelah petang.

"Kita (Pulau Pinang) tidak ada saluran maklumat (media arus) perdana, kita hanya ada JKKK untuk menjadi salah satu saluran maklumat kepada rakyat."

"Kita mesti menunjukkan beza dan prestasi yang baik kerana kita (JKKK) adalah telinga dan mata bagi kerajaan negeri," ujar Mansor pagi tadi di Dewan Mutiara, Jabatan Kerja Raya, di sini."

Beliau yang juga Adun Penanti turut meminta JKKK yang dilantik supaya berkhidmat secara profesional kepada rakyat tanpa mengira jalur faham kepartian.

"Kita tak perlu maki dan fitnah mana-mana pihak sebagaimana Umno lakukan dahulu (ketika menguasai kerajaan Pulau Pinang), kita hanya perlu jelaskan apakah perkhidmatan yang kita lakukan."

"Kalau mereka (warga emas) Umno atau MCA atau MIC pun, kita kene ajak mereka daftar skim warga emas kita, kita beri kepada mereka perkhidatan terbaik sebagaimana warga emas lain terima.

Kita mesti menunjukkan bahawa pentadbiran kita dari atas (kerajaan negeri) sampai lah peringkat JKKK, kita adalah terbaik, integriti dan disegani rakyat. Biar kita jauh berbeza (lebih baik) berbanding kerajaan dulu (Barisan Nasional)," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKKK yang terpilih sebelum ini kerana perkhidmatan mereka membantu kerajaan negeri dilihat sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti lagi berdaya saing.

Tahun 2010 umpamanya, RM12.28 bilion pelababuran asing paling tinggi dalam dunia...kenapa paling tinggi? Kerana pentadbiran kita, termasuk JKKK paling integriti dan orang yakin kepada kita," beliau menambah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis kerana banyak membantu kerajaan negeri sehingga diiktiraf sebagai salah sebuah negeri yang mempunyai penurunan indeks jenayah paling memberangsangkan.

Dalam perkembangan yang lain, Mansor turut meminta semua pihak memberi partisipasi sihat dalam pilihan raya jawatankuasa persatuan qaryah-qaryah masjid yang sengaja diadakan oleh kerajaan negeri untuk mendidik rakyat mengenai proses demokrasi.

"Kita tak mahu pengerusi masjid dipilih semata-mata menang waktu mesyuarat sahaja padahal bukan 'orang masjid'. Jangan kata kita (kerajaan negeri) tak memberi peluang untuk pemimpin baru memimpin persatuan qaryah (serta) dewan (orang ramai) selepas 3 tahun Pakatan Rakyat memerintah negeri.

"JKKK pun kena lah main peranan yang lebih aktif dengan menyertai proses pemilihan jawatankuasa peringkat qaryah dengan mengadakan program-program keagamaan, tubuh koperasi dan jana pendapatan sendiri dan sebagainya.

"Pemilihan secara demokrasi mengajar semua pihak supaya berlumba-lumba buat kebaikan, bukan macam era Umno tadbir negeri," ujarnya.

Turut hadir ADUN Padang Lalang Michael Tan Cheong Heng, ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wen, Penyelaras DUN Seberang Jaya Abdul Jalil Che Ros.

Perlantikan kali ini turun menampilkan muka-muka baru selain jawatankuasa sedia ada yang dilihat berkebolehan berkhidmat untuk rakyat.

Sunday, June 5, 2011

Laporan Sukan Malaysia XIV Kuala Lumpur 2011 - Hari Ketiga

Laporan Sukan Malaysia XIV Kuala Lumpur 2011 - Hari Ketiga

KECEMERLANGAN KONTINJEN NEGERI PULAU PINANG PADA HARI KETIGA SUKAN MALAYSIA XIV KUALA LUMPUR 2011 DITAMBAH DENGAN 2 EMAS, 4 PERAK DAN 3 BUTIR PINGAT GANGSA
 
4 Jun 2011 – Pulau Pinang meneruskan cabaran hari ketiga Sukan Malaysia XIV Kuala Lumpur 2011 dengan penambahan 2 butir pingat emas, 4 butir pingat perak dan 4 butir pingat gangsa.
 
Pungutan pingat emas kedua diperolehi menerusi Sukan Silambam bagi kategori Lelaki Kombat Sparing dalam acara 31-37kg oleh Rajeesh a/l Ravichandran, manakala pingat emas ketiga diperolehi oleh Tam Shu Hui dalam acara Sukan Judo kategori Wanita bawah 48kg menjadikan jumlah pungutan pingat pada hari ketiga sebanyak 3 butir pingat emas secara keseluruhannya.
 
Sukan Judo turut menambah 2 butir pingat perak kepada negeri Pulau Pinang dalam acara Lelaki bawah 55kg oleh Ng Tsu Tao dan Lelaki 66kg oleh Chua Jen Keat. Pungutan pingat perak ketiga diperolehi melalui Sukan Silambam oleh Ragu a/l Ravi dalam acara 44-50kg Lelaki Kombat. Manakala pingat perak keempat diperolehi oleh atlet Sukan Silambam Wanita oleh Thurga Devi dalam acara 46-50kg Wanita Kombat Sparing. 
 
Kegemilangan sukan Judo turut menyaksikan sumbangan pingat gangsa melalui atlet Koay Seng Jian dalam kategori lelaki individu tidak melebihi 60kg dan wanita individu tidak melebihi 45kg oleh Goh Yiing Yuan. Pingat gangsa ketiga diperolehi oleh Kavi Kumar a/l Ravichandran dalam acara Lelaki Kombat Sparing Sukan Silambam untuk kategori 38 – 43kg.