PERUTUSAN AIDIL FITRI TIMBALAN KETUA MENTERI (1)
NEGERI PULAU PINANG
1431 H
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa puji dan syukur yang tidak terhingga banyaknya kepada ALLAH yang telah memanjangkan umur kita sehingga kita dapat bertemu lagi dengan Aidilfitri pada tahun ini.
Di sebalik kegembiraan bertemu dengan Aidilfitri, Kita juga tidak lupa untuk berdoa semoga dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadan pada tahun-tahun mendatang. Saya berharap semoga hasil tarbiyah bulan Ramadan yang mendidik kita untuk meraih taqwa dapat kita teruskan. Amalan-amalan sunat yang kita praktikan sepanjangan bulan Ramadan juga diharapkan agar dapat kita teruskan dan tidak terhenti begitu sahaja.
Pada hari raya ini, umat Islam akan sama-sama mengumandangkan takbir, tahlil dan taqmid, untuk mengagungkan kebesaran Allah SWT dan memanjatkan rasa syukur kepada-Nya. Umat Islam berasa penuh gembira kerana telah berjaya mengharung sebuah peperangan yang besar, iaitu perang melawan hawa nafsu selama sebulan di bulan Ramadan. Kemenangan ini seharusnya menjadi pemangkin untuk mengangkat harkat dan martabat umat menjadi umat yang benar-benar bertaqwa. Dalam masa yang sama Islam mendidik kita untuk membezakan antara yang baik dengan yang buruk, yang benar dengan yang salah, yang hak dengan yang bathil.
Di hari yang penuh kesucian ini, saya juga ingin mengajak Muslimin dan Muslimat untuk sama-sama memelihara dan memperteguh kerukunan antara umat Islam. Mari kita jadikan Aidilfitri kali ini sebagai satu momentum untuk membangunkan ukhuwah islamiyah sesama umat Islam. Ini juga seiring dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memartabadkan umat Islam di negeri Pulau Pinang. Pelbagai program telah diusahakan dalam rencana untuk memartabadkan umat Islam seperti pengiktirafan kepada huffaz, bantuan kepada Sekolah Agama rakyat (SAR) dan pelbagai program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
Akhir sekali saya ingin mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri” kepada kaum Muslimin dan Muslimat di seluruh tanah air. Marilah di hari yang mulia ini kita saling maaf-memaafkan satu sama lain, atas segala kesalahan dan kekhilafan kita. Saya juga ingin merakamkan permohonan maaf dari saya dan keluarga kepada seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang atas kekhilafan, kealpaan dan kesalahan yang mungkin telah saya lakukan. Kepada saudara-saudari yang pulang ke kampung halaman masing-masing, saya berpesan berhati-hatilah ketika memandu. Saya juga berdoa semoga saudara-saudara senantiasa berada dalam keadaan sehat wal’afiat dan selamat sampai ke destinasi.
Minal Aidin Wal’faidzin,
Taqabbalallahu Minn Wa Minkum
Sekian,
Y.B. DATO’ MANSOR BIN HJ. OTHMAN