Pages

Tuesday, November 9, 2010

Ustaz Asri minta maaf kepada Anwar

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf atas pandangan sebelum ini yang mencadangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya "bersara politik."

"Justeru, sebagai saudara Muslim, saya sekali lagi – seperti kenyataan awal - pohon kemaafan atas pandangan tersebut.

"Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah SWT mendatangkan hal yang sebaliknya. Dia Maha Mengetahui segalanya," katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan digunakan oleh akhbar Umno Utusan Malaysia dalam 'perancangan' untuk mencemarkankan nama baik Anwar sebagai ketua pembangkang.

Menyifatkan dakwaan 'digunakan' terhadapnya sebagai agak berat, Mohd Asri menjelaskan cadangannya supaya Anwar 'bersara politik' bukan berkaitan peribadi, sebaliknya pandangan politik yang berniat baik.

"Pada awal moderator (blog saya) Minda Tajdid sendiri pun risau (dengan pandangan saya). Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia.

"Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar," katanya sambil memberitahu tidak pernah memusuhi, bahkan simpati dengan keadaan Anwar sekarang.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Anwar hari ini mempersoalkan masa yang digunakan untuk menyerang dirinya dan naib presiden PKR Azmin Ali.

Anwar mendakwa terdapat kempen bersepadu di Utusan menggunakan Dr Mohd Asri dan lidah pengarang akhbar itu supaya beliau meletakkan jawatan.

Tidak di belakang Zaid, Mustaffa Kamil

Dalam surat terbukanya kepada Anwar petang ini, Dr Mohd Asri berkata, selain tajuk yang 'garang', laporan di Utusan sebelum ini daripada laman blognya dipetik dengan tepat.

"(Ia) bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya.

"Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan," katanya.

Menurut Mohd Asri lagi, beliau sendiri tidak tahu bahawa dua calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub - yang turut dikaitkan dalam 'perancangan' itu - akan mengeluarkan kenyataan mengkritik Anwar dan PKR.

"Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka," kata Dr Mohd Asri.

Sambil mengakui kelebihan Anwar dalam politik - terutama dalam pemikiran Islam, pidato dan umur - Dr Mohd Asri yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu perlu mengambil kira banyak persoalan lain.

SMS pada Anwar

"Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.

"Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot," jelas beliau lagi.

Selain itu, Dr Mohd Asri berharap apa yang berlaku tidak merosakkan hubungan sesama Islam dengan Anwar.

"Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi.

"Saya telah SMS secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi," katanya.

Zaid bukan pejuang sebenar kata Mansor

Malaysiakini.com

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bukan pejuang sebenar, kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Mansor yang bertanding bagi satu daripada empat jawatan naib presiden berkata Zaid tidak dapat menangani tekanan daripada anggota parti di peringkat akar umbi.

"Saya tidak fikir Zaid seorang pejuang sebenar kerana apabila beliau menghadapi tekanan, beliau menyerah kalah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Dewan Undangan Negeri Pualau Pinang hari ini.

Semalam, Zaid dilaporkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dengan alasan pucuk pimpinan PKR tidak langsung cuba menangani pelbagai isu berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil walaupun isu-isu itu sering dibangkitkan.

Dalam kenyataannya semalam, Zaid juga mengumumkan beliau melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri (I) berkata, apabila Zaid mendapati bahawa peluangnya tipis untuk menang, beliau menarik diri.

"Beliau (Zaid) tidak menghadapi tekanan daripada pimpinan parti tetapi suara-suara akar umbi memberi petunjuk bahawa beliau mungkin kalah, jadi beliau menarik diri," katanya.

Mengenai dakwaan Zaid berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil, Mansor berkata jika ada, beliau sepatutnya membangkitkan perkara itu melalui saluran yang betul dan bukan melalui media.

"Kita sepatutnya tidak menggunakan media untuk menyerang parti, tetapi membawa isu berbangkit pada mesyuarat parti untuk penyelesaian," katanya.

Bagaimanapun, Mansor yang kecewa dengan keputusan Zaid, juga mengakui bahawa parti itu kini dalam dilema bagi menangani masalah anggota baru parti yang mencari kedudukan.

"Mereka masih baru di dalam parti dan apabila gagal dalam cubaan untuk mendapatkan jawatan dalam parti, mereka membenarkan diri mereka dikawal 'musuh' untuk menyerang parti," katanya.

Monday, October 25, 2010

Majlis Makan Malam Tahunan Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang

22 Oktober 2010, Jumaat : Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang telah mengadakan Majlis Makan Malam Tahunan bersama seluruh pimpinan negeri Pulau Pinang. Majlis tersebut diadakan di Hotel Equatorial, Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, YB Dato' Mansor Hj Othman dan ramai lagi.








Wednesday, October 20, 2010

Program Ramah Mesra Dan Makan Malam

15 Oktober 2010, Jumaat: Program Ramah Mesra dan Makan Malam ini merupakan program anjuran Wanita Keadilan Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Yayasan Aman, Penanti. Program ini dihadiri oleh YB Dato' Mansor bin Haji Othman, Speaker Pulau Pinang, Dato' Abdul Halim Hussain, Ketua Wanita, Ketua-Ketua Wanita Cabang dan AJK, Penyelaras KADUN dan lain-lain.








Tuesday, October 19, 2010

Malam Mesra Bersama Pimpinan

14 Oktober 2010, Khamis: Satu majlis ramah mesra bersama pimpinan PKR negeri Pulau Pinang telah diadakan di Sri Jawi Inn, Jawi. Majlis tersebut dihadiri pimpinan cabang PKR dari seluruh negeri Pulau Pinang. Turut menghadiri majlis tersebut ialah YB Dato' Mansor Hj Othman dan YB Azmin Ali.




Memo taubat kerja orang jahat, kecewa

Memo taubat kerja orang jahat, kecewa

Mansor: Pengerusi masjid Pulau Pinang wajib ikuti kursus dakwah

GEORGE TOWN, 11 Okt – Kesemua pengerusi masjid di Pulau Pinang akan diwajibkan mengikuti kursus latihan dakwah yang akan diperkenalkan melalui Institut Latihan Dakwah Negeri (ILDN) yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman berkata, latihan ini akan menjadi satu kursus wajib sebelum pengesahan pelantikan bagi semua pengerusi masjid mulai awal tahun hadapan.

Kata beliau, tujuan utama latihan ini adalah memberi pendedahan menyeluruh kepada pemimpin-pemimpin masjid mengenai tanggungjawab dan komitmen mereka selaku pengerusi dan pemimpin.

“Ia akan banyak menyentuh mengenai soal akidah dan agama serta meningkatkan ilmu kepimpinan kepada mereka.

“Selain itu institut ini juga akan memberi ruang kepada para huffaz untuk mendapat latihan kepimpinan selain melayakkan diri mereka untuk memimpin masyarakat suatu ketika nanti.

“Modul latihan telah pun disiapkan. Ia dijangka akan dilaksanakan tidak lama lagi setelah semua perkara berkaitan dengan program tersebut lengkap sepenuhnya,” katanya.

Mansor bercakap kepada media selepas menghadiri majlis Ijtimak Huffaz Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Buat masa ini pengerusi masjid pun tidak diwajibkan untuk mengikuti apa-apa latihan formal sebagai memenuhi kriteria untuk memenuhi portfolio tersebut.

Malah di sesetengah tempat pengerusinya adalah mereka yang sudah menjangkau usia 70 tahun atau lebih.

Keadaan itu menyukarkan mereka untuk berinteraksi apabila melibatkan keadaan persekitaran dan kesihatan, kata beliau.

Selain dari ILDN yang akan beroperasi tidak lama lagi, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) akan turut berperanan sebagai satu wadah kepada semua golongan masyarakat dalam negeri ini untuk diberi pembelaan dalam pelbagai disiplin.

YIPP ini juga akan memberi tumpuan terhadap kebajikan, sosioekonomi, pendidikan, kemiskinan umat Islam dalam negeri ini.

“Namun begitu YIPP ini akan banyak menitikberatkan isu-isu pembangunan umat Islam melalui kaedah bantuan yang akan diperolehi melalui pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan.

“Ia akan berperanan sebagai sebuah organisasi bebas yang tidak membebankan Kerajaan Negeri. Di sini semua pihak yang mempunyai komitmen, prihatin serta sanggup berdikari akan menjadi penyumbang kepada kekuatan YIPP,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan yang diambil ini membuktikan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) sememangnya memberi perhatian terhadap perkembangan dan pendidikan Islam di negeri ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah pun menambah peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan tahfiz dari RM1.5 juta pada 2009 kepada RM1.75 juta tahun ini.

Pengkitirafan Hufaz Negeri Pulau Pinang





PULAU PINANG, 6 Dis: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi pengiktirafan kepada para penghafaz Al-Quran di negeri ini dengan memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada mereka.

Sejajar dengan itu seminar Huffaz yang telah diadakan di Dewan Sri Pinang baru-baru ini dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) adalah salah satu tindakan kearah pengiktirafan tersebut.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim setakat ini 137 para hafiz dan hafizah telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu cara menghargai sumbangan mereka yang berjaya menghafaz Al Quran di negeri ini.

"Kita juga berhasrat untuk mewujudkan satu keluarga satu huffaz serta usaha kearah ini sedang giat dilaksanakan bagi mencapai aspirasi tersebut."

Dalam pada itu Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut menyokong usaha yang diambil bagi memartabatkan para huffaz ini.

"Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan kepada mereka ini adalah kerana kita berkeyakinan golongan seperti ini adalah mereka yang mempunyai komitmen tinggi dan memerlukan disiplin serta keperibadian mulia untuk melaksanakannya.

"Kita juga yakin degan adanya golongan hafiz dan hafizah ini maka masalah sosial dikalangan masyarakat seperti krisis moral, kemungkaran dan pelbagai masalah sosial akan dapat dihindari sebagaimana yang menjadi konsep amalan Kerajaan Negeri kearah 'Amar Makruf Nahi Munkar."

Para huffaz kali ini diberi penghargaan dengan pemberian sijil dan sumbangan sebanyak RM500 setiap orang.

Penghargaan ini telah dimulai sejak kepimpinan Kerajaan Negeri diterajui oleh Pakatan Rakyat sejak 2008 lagi.

Monday, October 11, 2010

YB Dato' Mansor Hj Othman Bertanding Jawatan Naib Presiden Parti

YB Dato' Mansor Hj Othman sebentar tadi telah membuat pengumuman rasmi bahawa beliau akan bertanding Jawatan Naib Presiden Parti pada Pemilihan Parti 2010 yang akan diadakan bermula 29 Oktober 2010 sehingga 21 November 2010.

Beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

YB Dato' Mansor sekarang ini menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang dan juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat sejak 1999. Beliau pernah menjadi Timbalan Pengarah Pilihanraya Pusat.

Thursday, September 16, 2010

Jemputan Ke Rumah Terbuka Aidilfitri KADUN Penanti


Dengan segala hormatnya menjemput semua ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kadun Penanti seperti maklumat di atas.

Terima kasih

Thursday, September 9, 2010

PERUTUSAN AIDIL FITRI TIMBALAN KETUA MENTERI (1) NEGERI PULAU PINANG 1431 H

PERUTUSAN AIDIL FITRI TIMBALAN KETUA MENTERI (1)
NEGERI PULAU PINANG
1431 H

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa puji dan syukur yang tidak terhingga banyaknya kepada ALLAH yang telah memanjangkan umur kita sehingga kita dapat bertemu lagi dengan Aidilfitri pada tahun ini.

Di sebalik kegembiraan bertemu dengan Aidilfitri, Kita juga tidak lupa untuk berdoa semoga dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadan pada tahun-tahun mendatang. Saya berharap semoga hasil tarbiyah bulan Ramadan yang mendidik kita untuk meraih taqwa dapat kita teruskan. Amalan-amalan sunat yang kita praktikan sepanjangan bulan Ramadan juga diharapkan agar dapat kita teruskan dan tidak terhenti begitu sahaja.

Pada hari raya ini, umat Islam akan sama-sama mengumandangkan takbir, tahlil dan taqmid, untuk mengagungkan kebesaran Allah SWT dan memanjatkan rasa syukur kepada-Nya. Umat Islam berasa penuh gembira kerana telah berjaya mengharung sebuah peperangan yang besar, iaitu perang melawan hawa nafsu selama sebulan di bulan Ramadan. Kemenangan ini seharusnya menjadi pemangkin untuk mengangkat harkat dan martabat umat menjadi umat yang benar-benar bertaqwa. Dalam masa yang sama Islam mendidik kita untuk membezakan antara yang baik dengan yang buruk, yang benar dengan yang salah, yang hak dengan yang bathil.

Di hari yang penuh kesucian ini, saya juga ingin mengajak Muslimin dan Muslimat untuk sama-sama memelihara dan memperteguh kerukunan antara umat Islam. Mari kita jadikan Aidilfitri kali ini sebagai satu momentum untuk membangunkan ukhuwah islamiyah sesama umat Islam. Ini juga seiring dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memartabadkan umat Islam di negeri Pulau Pinang. Pelbagai program telah diusahakan dalam rencana untuk memartabadkan umat Islam seperti pengiktirafan kepada huffaz, bantuan kepada Sekolah Agama rakyat (SAR) dan pelbagai program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri” kepada kaum Muslimin dan Muslimat di seluruh tanah air. Marilah di hari yang mulia ini kita saling maaf-memaafkan satu sama lain, atas segala kesalahan dan kekhilafan kita. Saya juga ingin merakamkan permohonan maaf dari saya dan keluarga kepada seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang atas kekhilafan, kealpaan dan kesalahan yang mungkin telah saya lakukan. Kepada saudara-saudari yang pulang ke kampung halaman masing-masing, saya berpesan berhati-hatilah ketika memandu. Saya juga berdoa semoga saudara-saudara senantiasa berada dalam keadaan sehat wal’afiat dan selamat sampai ke destinasi.

Minal Aidin Wal’faidzin,
Taqabbalallahu Minn Wa Minkum

Sekian,

Y.B. DATO’ MANSOR BIN HJ. OTHMAN

Wednesday, September 8, 2010

Kisah Dua Beradik Kutip Tin Lepas Sekolah






Kisah dua beradik yang mengutip tin selepas sekolah untuk membantu keluarga mendapat perhatian serius daripada ADUN Penanti. Pihak Pusat khidmat ADUN Penanti telah membantu salah seorang daripada anak Keluarga yang tinggal di Padang Ibu, Guar Perahu itu iaitu adik Mohd Zulfakri Abdul Talib yang berusia 9 tahun membeli baju raya di Kamdar pada 5 September yang lalu.

Namun begitu, pihak YB Mansor telah meminta supaya keluarga ini diberi perhatian disebabkan keadaan keluarga dan kesihatan ibunya yang lumpuh itu. Pihak YB Mansor melalui JKKK Padang Ibu dan Persatuan Masyarakat Prihatin telah sekali lagi berkunjung ke rumah keluarga tersebut dan membawa bersama 4 orang anaknya lagi untuk membeli persiapan hari raya.

Pihak keluarga tersebut juga berterima kasih kepada YB Mansor yang amat prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga ini.

Tuesday, September 7, 2010

Anwar kecam gambar ‘superimpose’ burukkan Ketua Menteri Pulau Pinang


BUKIT MERTAJAM, 5 Sept — Sambil merujuk kepada penyebaran gambar ‘superimpose’ Ketua Menteri Pulau Pinang menyembelih lembu korban, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan buruk semakin ketara ditonjolkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mempengaruhi rakyat supaya menyokong mereka.

Ketua Umum Pakatan Rakyat ini berkata, fitnah yang semakin berleluasa kebelakangan ini bukan saja menggambarkan imej buruk parti tersebut tetapi juga menjatuhkan moral kepimpinan mereka.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menggesa masyarakat khususnya orang Melayu supaya tidak mempercayai segala muslihat terdesak yang cuba dipelopori oleh Umno dan BN.

Yang terbaru, kata beliau, gambar yang dilihat ditindih, disebarkan oleh mereka tidak bertanggungjawab seolah-olah menunjukkan Lim Guan Eng menyembelih lembu korban adalah contoh yang nyata dan ketara.

Pagi semalam, Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim mencabar Pakatan Rakyat menunjukkan bukti berhubung tuduhan mereka yang mengatakan Umno menyebarkan gambar seumpama itu.

Azhar yang juga ketua pembangkang DUN Pulau Pinang menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengetahui mengenai gambar yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan dan

menegaskan bahawa itu bukan cara Umno untuk mendapatkan populariti.

“Tuduh menuduh ini bukan cara kami (Umno), kalau benar gambar itu Umno yang buat, tunjukkan bukti.

“Mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu lain bagi menutup kesalahan sendiri juga bukan kerja Umno, ini kerja Pakatan pembangkang,” kata Azhar.

Kehadiran wakil rakyat bukan Islam di masjid dan surau, dan khutbah di masjid Pulau Pinang adalah antara isu yang dibangkitkan sebelum ini.

“Dalam isu orang bukan Islam memasuki surau dan masjid ia bukanlah satu perkara baru. Perkara ini sudah lama menjadi lumrah untuk mendekati masyarakat Islam.

“Oleh kerana Umno dan BN sudah tidak lagi mempunyai isu dan modal politik, maka perkara ini mereka sensasikan sedangkan pada hakikatnya ada antara mereka sendiri yang mencemari institusi agama tersebut,” kata Anwar.

Penasihat PKR ini ditemui ditemui selepas beliau menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 77 pegawai masjid dan 22 penggali kubur di bahagian DUN Penanti, di Masjid Tuan Abdullah, Penanti petang semalam.

Tambah beliau, kerana situasi yang terdesak maka apa saja yang mampu untuk memberi kemenangan dan sokongan kepada Umno dan BN akan mereka gunakan.

Sehubungan itu Anwar menggesa umat Islam khususnya dalam bulan Ramadan ini supaya meninggalkan segala perbuatan fitnah yang akan menghilangkan pahala ibadat puasa.

“Jangan kita ikut amalan yang sedang dilakukan oleh Umno dan BN tanpa mengambil kira waktu dan ketika.

“Fitnah adalah menjadi amalan rutin mereka bagi mencari pengaruh,” katanya lagi.

Mengenai lawatan beliau ke Sarawak baru-baru ini, Anwar berkata, penerimaan masyarakat di sana adalah menggalakkan.

“Kita mempunyai peluang di sana, namun begitu media tidak bersikap adil apabila mereka tidak melaporkan perkara yang benar.

“Namun begitu kita akan terus mempertingkatkan usaha dalam menapak di sana menjelang pilihan raya umum yang akan datang bagi membela nasib rakyat di sana,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman.

PROGRAM SUMBANGAN KEBAJIKAN KEPADA PENDUDUK DUN PENANTI







5 September 2010: Penduduk bukan Melayu di DUN Penanti yang memerlukan bantuan tidak pernah dipinggirkan. Demikian yang ditegaskan oleh YB Mansor bin Othman yang merupakan ADUN penanti.

Beliau berkata, sumbangan bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada waktu ini tidak mengira bangsa ataupun agama. Setiap rakyat akan dilayan dengan adil tanpa melihat kepada rupa mahupun warna kulit.

Justeru, program sumbangan kebajikan kepada penduduk DUN Penanti yang diadakan di Kebun Syur, Bukit Mertajam ini merupakan salah satu program yang membantu meringankan beban rkayat di DUN Penanti.

Seramai 150 orang penduduk India, Cina dan Melayu yang tinggal di sekitar Penanti diberi sumbangan dalam program tersebut.

Menurut YB Mansor, kedatangan bulan Ramadan ini bukan sahaja membawa rahmat malah keinsafan untuk membantu golongna yang memerlukan.

Sebelum ini pada 28 Ogos yang lalu serami 400 orang penduduk Melayu sekitar Penanti diberi bantuan sumbangan.

Ini merupakan bantuan dan sumbangan kepada penduduk yang bukan Islam.




SEKITAR LAWATAN KE MASJID BAYAN BARU DAN PASAR RAMADAN BAYAN BARU

3 September 2010: YB Mansor selaku Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang akan cuba sedaya upaya untuk turun ke padang untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat. Sepanjang bulan Ramadan ini Yb Mansor cuba sedaya upaya untuk turun ke setiap daerah di Pulau Pinang di samping berbuka dan solat tarawikh di DUN Penanti.

Tidak dilupakan pelbagai program sumbangan dan kebajikan turut memenuhi jadual beliau. Gambar-gambar di bawah diambil ketika YB Mansor turun ke Masjid Bayan Baru dan melawat Pasar Ramadan Bayan Baru.