Pages

Tuesday, November 9, 2010

Ustaz Asri minta maaf kepada Anwar

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf atas pandangan sebelum ini yang mencadangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya "bersara politik."

"Justeru, sebagai saudara Muslim, saya sekali lagi – seperti kenyataan awal - pohon kemaafan atas pandangan tersebut.

"Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah SWT mendatangkan hal yang sebaliknya. Dia Maha Mengetahui segalanya," katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan digunakan oleh akhbar Umno Utusan Malaysia dalam 'perancangan' untuk mencemarkankan nama baik Anwar sebagai ketua pembangkang.

Menyifatkan dakwaan 'digunakan' terhadapnya sebagai agak berat, Mohd Asri menjelaskan cadangannya supaya Anwar 'bersara politik' bukan berkaitan peribadi, sebaliknya pandangan politik yang berniat baik.

"Pada awal moderator (blog saya) Minda Tajdid sendiri pun risau (dengan pandangan saya). Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia.

"Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar," katanya sambil memberitahu tidak pernah memusuhi, bahkan simpati dengan keadaan Anwar sekarang.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Anwar hari ini mempersoalkan masa yang digunakan untuk menyerang dirinya dan naib presiden PKR Azmin Ali.

Anwar mendakwa terdapat kempen bersepadu di Utusan menggunakan Dr Mohd Asri dan lidah pengarang akhbar itu supaya beliau meletakkan jawatan.

Tidak di belakang Zaid, Mustaffa Kamil

Dalam surat terbukanya kepada Anwar petang ini, Dr Mohd Asri berkata, selain tajuk yang 'garang', laporan di Utusan sebelum ini daripada laman blognya dipetik dengan tepat.

"(Ia) bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya.

"Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan," katanya.

Menurut Mohd Asri lagi, beliau sendiri tidak tahu bahawa dua calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub - yang turut dikaitkan dalam 'perancangan' itu - akan mengeluarkan kenyataan mengkritik Anwar dan PKR.

"Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka," kata Dr Mohd Asri.

Sambil mengakui kelebihan Anwar dalam politik - terutama dalam pemikiran Islam, pidato dan umur - Dr Mohd Asri yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu perlu mengambil kira banyak persoalan lain.

SMS pada Anwar

"Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.

"Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot," jelas beliau lagi.

Selain itu, Dr Mohd Asri berharap apa yang berlaku tidak merosakkan hubungan sesama Islam dengan Anwar.

"Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi.

"Saya telah SMS secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi," katanya.