Pages

Sunday, January 29, 2012

GENERASI MUDA PENILAI KRITIS

Generasi muda kaum Cina mudah mendekati Mansor

KAMPUNG SUNGAI LEMBU: Golongan muda pelbagai kaum mula melihat peranan mereka dalam usaha menentang ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu digiat dan diteruskan semaksimum mungkin.

Tanpa perlu mendengar segala retorik yang dibawakan BN, golongan muda pelapis negara lebih menilai sesuatu isu dengan mata hati dan akal fikiran segar sekali gus mengelak mereka diumpamakan 'katak di bawah tempurung'.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Datuk Mansor Othman, berkata kini golongan itu berjaya membuktikan kelompok mereka bukan boleh diibaratkan seperti 'lembu di cucuk hidung' yang boleh diperbodoh dan diperdaya.

"Tempias itu bukan saja dirasai golongan muda yang berintelektualiti malah meresap kepada sebahagian mereka yang tinggal di kampung.

"Ini kerana, dunia tanpa sempadan membolehkan mereka menatap pelbagai isu dalam segenap sudut dan pelbagai persepsi. Ia menuntut ketajaman akal menilai sesuatu isu. Dalam hal ini, mereka berjaya menembus tembok pemikiran lapuk," katanya.

Beliau berucap demikian ketika diberi penghormatan sebagai tetamu khas dalam Majlis Jamuan Tahun Baru Cina 2012 di Kampung Sungai Lembu, Penanti, di sini.

Turut hadir ialah Pengarah Biro Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Cheah Kah Peng, dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Sungai Lembu, Tan Sing Lee.

Mansor yang juga Pengerusi KEADILAN negeri, berkata Pakatan Rakyat (PR) konsisten melaungkan slogan politik Malaysia yang dihuni pelbagai kaum berbanding BN yang lebih suka bercakap politik kaum.

"PR gigih membina keharmonian kaum namun BN pula turut gigih meruntuhkannnya. Rakyat bijak sudah tentu menolak politik kaum yang dimainkan BN secara berterusan.

"Justeru, golongan muda pelbagai kaum yang tajam akal fikiran dan matang dalam menilai isu lebih condong menyokong pemimpin yang mahukan keharmonian,' katanya.