Pages

Tuesday, November 9, 2010

Zaid bukan pejuang sebenar kata Mansor

Malaysiakini.com

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bukan pejuang sebenar, kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Mansor yang bertanding bagi satu daripada empat jawatan naib presiden berkata Zaid tidak dapat menangani tekanan daripada anggota parti di peringkat akar umbi.

"Saya tidak fikir Zaid seorang pejuang sebenar kerana apabila beliau menghadapi tekanan, beliau menyerah kalah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Dewan Undangan Negeri Pualau Pinang hari ini.

Semalam, Zaid dilaporkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dengan alasan pucuk pimpinan PKR tidak langsung cuba menangani pelbagai isu berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil walaupun isu-isu itu sering dibangkitkan.

Dalam kenyataannya semalam, Zaid juga mengumumkan beliau melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri (I) berkata, apabila Zaid mendapati bahawa peluangnya tipis untuk menang, beliau menarik diri.

"Beliau (Zaid) tidak menghadapi tekanan daripada pimpinan parti tetapi suara-suara akar umbi memberi petunjuk bahawa beliau mungkin kalah, jadi beliau menarik diri," katanya.

Mengenai dakwaan Zaid berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil, Mansor berkata jika ada, beliau sepatutnya membangkitkan perkara itu melalui saluran yang betul dan bukan melalui media.

"Kita sepatutnya tidak menggunakan media untuk menyerang parti, tetapi membawa isu berbangkit pada mesyuarat parti untuk penyelesaian," katanya.

Bagaimanapun, Mansor yang kecewa dengan keputusan Zaid, juga mengakui bahawa parti itu kini dalam dilema bagi menangani masalah anggota baru parti yang mencari kedudukan.

"Mereka masih baru di dalam parti dan apabila gagal dalam cubaan untuk mendapatkan jawatan dalam parti, mereka membenarkan diri mereka dikawal 'musuh' untuk menyerang parti," katanya.