Saya ingin merujuk kepada laporan berita Bernama dan Sinar Harian bertarikh 11 November 2012 mengenai dakwaan kes tiga anggota pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merogol seorang warga Indonesia.
Dakwaan yang dilaporkan di Prai, Pulau Pinang ini amat menggusarkan rakyat Pulau Pinang mengenai tahap keselamatan tatkala yang didakwa melakukan jenayah adalah mereka yang diberi amanah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Inilah yang dikatakan ”harapkan pagar, pagar makan padi”.
Rakyat Malaysia, khususnya warga Pulau Pinang mendesak agar dakwaan ini dipandang serius oleh pihak pasukan PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Tambahan pula kes ini melibatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan jiran tetangganya Indonesia.
Saya mengulangi ketegasan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa langkah penambahbaikan pasukan PDRM hendaklan dilaksanakan tanpa berlengah-lengah lagi sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang dibentuk pada tahun 2005.
Suruhanjaya ini yang dipengerusikan oleh Bekas Ketua Hakim Negra, Tun Mohamed Dzaidin telah mencadangkan beberapa elemen penting dalam menambahbaik pasukan PDRM.
Salah satu elemen penting adalah dengan penubuhan sebuah Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Cadangan ini turut mendapat sokongan Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri kelima).
Namun sehingga kini tidak ada perlaksanaan ke atas cadangan ini dan tiada sebarang usaha serius pihak kerajaan untuk mempertingkatkan kepercayaan rakyat kepada pasukan PDRM.
Kita berharap tindakan segera dapat dilakukan ke atas ketiga-tiga pegawai polis yang terlibat dalam kes ini seperti mana yang telah dijanjikan oleh Ketua Polis Negeri Pulau Pinang.
Kita juga menuntut kebertanggungjawaban Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk menyegera dan menangani kes ini. Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan guaman kepada pengadu melalui pasukan peguam Pakatan Rakyat bagi menunjukkan bahawa kita mengambil berat tentang perkara ini.
Datuk Mansor Othman
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang