KENYATAAN MEDIA
BARISAN EXCO KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
UMNO DAN BN BANKRUP POLITIK
Mahatma Gandhi pernah menyebut dalam pidato politik ”Gandhi's Seven Deadly Sins” yang salah satunya adalah ”Politics without Principle´. Ternyata gaya politik yang diamalkan pada hari ini oleh UMNO dan BN adalah politik tanpa prinsip apabila dengan sedar telah mengheret anak lelaki YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ke kancah politik kotor mereka. Ini menunjukkan betapa rendahnya etika politik kepimpinan UMNO dan BN yang sanggup menggunakan taktik politik kotor dalam usaha membunuh karier politik lawan mereka.
Adalah sesuatu yang amat memalukan kepada negara ini apabila kegilaan kuasa menyebabkan UMNO dan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa. Tindakan mengheret kanak-kanak dalam kancak politik yang kotor ini adalah tindakan terdesak UMNO dan BN setelah melihat bahawa mereka tidak mampu untuk merampas Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat dengan isu-isu pentadbiran dan dasar. UMNO dan BN telah bankrup politik untuk menyerang Pakatan Rakyat dari sudut keberkesanan urustadbir negeri yang terbukti mengutamakan rakyat di bawah dasar mesra rakyat seperti pemberian wang kepada warga emas, anak emas, ibu tunggal dan OKU.
Dalam masa yang sama, saya mengesa agar Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar bertindak melindungi kanak-kanak daripada terus dijadikan objek untuk penderaan, serangan seksual dan paling menyedihkan serangan politik. Saya berharap agar Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak berdiam diri dalam hal ini. Tambahan pula pada bulan ini kita akan menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia dengan tema ”Menjana Karisma Kanak-Kanak” yang akan disambut pada 22 Oktober ini di Seri Pentas. Bagaimanakah akan kita bina karisma kanak-kanak sekiranya kanak-kanak terus diheret ke lembah politik yang jijik?
Oleh itu saya dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mana-mana pihak menggunakan kanak-kanak untuk kepentingan politik dan kuasa. Kanak-kanak dan remaja adalah warisan penyambung pembangunan negara yang sepatutnya dilindungi, bukannya dianiayai.
Sekian,
Y.B. DATO’ MANSOR BIN HJ OTHMAN
Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang