Pages

Thursday, September 8, 2011

PERUTUSAN SEMPENA MEMPERINGATI PEMBUKAAN KOTA MEKKAH: CADANGAN PENUBUHAN TABUNG KHAS ZAKAT MALAYSIA

PERUTUSAN SEMPENA MEMPERINGATI PEMBUKAAN KOTA MEKKAH: CADANGAN PENUBUHAN TABUNG KHAS ZAKAT MALAYSIA

Hari ini 10 Ramadhan 1432 H yang merupakan tarikh penting dalam kalendar Islam iaitu peristiwa Pembukaan Kota Mekah (bahasa Arab: فتح مكة, Fathu Makkah). Pembukaan Kota Mekkah bermaksud pembebasan Kota Mekah daripada pengaruh, amalan dan cengkaman jahliyah. Sebelum pembukaan Kota Mekah dikuasai, ia telah menjadi pusat penyembahan berhala dan lain-lain amalan tradisi masyarakat Arab jahiliyah.

Setelah lapan tahun berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW beserta 10,000 orang tentera Islam kembali dan menguasai Mekah secara keseluruhan, sekaligus menghancurkan berhala yang ditempatkan di dalam dan sekitar Kaabah pada 10 Ramadan 8 H bersamaan Januari 630 M
Apabila Rasulullah SAW memasuki Mekah, Rasulullah melakukan tawaf, mencium Hajar Aswad dan memusnahkan berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah. Baginda juga memasuki Kaabah dan mencuci dinding Kaabah dengan air zam-zam. Selain itu, baginda memaafkan dan membebaskan penduduk Mekah yang pernah menentang Islam.

Marilah kita mengambil semangat daripada peristiwa penting ini untuk sama-sama membantu kaum muslimin yang lain untuk keluar dari kesengsaraan dan penderitaan seperti yang dialami di Somalia saat ini. Justeru itu saya mencadangkan agar diwujudkan satu Tabung Khas Zakat Malaysia bagi membantu negara-negara Islam yang mengalami bencana dan kebuluran. Buat masa ini Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang telah menubuhkan Tabung Iwaza yang memperuntukan 1% daripada kutipan zakat tahunan untuk disalurkan kepada negara-negara Islam yang memerlukan bantuan. Bantuan kepada negara-negara Islam yang mengalami bencara buat masa ini hanya bersifat “ad-hock” sahaja.

Oleh yang demikian, saya berharap agar lontaran idea untuk menubuhkan satu Tabung Khas Zakat Malaysia seperti yang dibuat di Pulau Pinang ini dapat dibincangkan secara serius oleh Majlis Agama Islam di negeri-negeri yang lain. Saya yakin dengan adanya tabung khas ini dapatlah nantinya membantu menyelaraskan bantuan zakat yang dikutip di seluruh negara untuk membantu umat Islam di negara-negara Islam yang lain yang memerlukan bantuan dan mengeluarkan umat Islam daripada lingkaran kemiskinan.

Sekian,

Y.B. DATO’ MANSOR BIN HJ OTHMAN
Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang