Pertelingkahan berhubung siapa paling layak menerajui komponen BN antara Gerakan dan Umno di Pulau Pinang membuktikan budaya kesepakatan yang diamalkan selama ini hanya bersifat retorik semata-mata.
Sebaliknya parti-parti tersebut saling tidak menyenangi antara satu sama lain sehingga sanggup 'makan kawan' apabila berada dalam keadaan terdesak.
" Seharusnya dalam urusan pentadbiran parti, semangat kerjasama penting bagi menjamin kekuatan dan kelangsungan parti di masa bukannya bercakaran bila saat kehilangan kuasa,"
Hal ini ditegaskan oleh Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansur Osman ketika dihubungi Era Pakatan. Beliau diminta mengulas perebutan antara Umno dan Gerakan berhubung jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang, yang kini disandang oleh Tan Sri Koh Tsu Koon, bekas ketua menteri yang juga presiden Gerakan – parti yang menerajuinya selama lebih 35 tahun.
Menurut beliau, seharusnya Umno Pulau Pinang membantu rakan mereka yang di dalam kesusahan dan bukannya menambah kesulitan dalam parti.Tindakan ini berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR) yang sentiasa berganding bahu dan membantu antara satu dengan yang lain.
"Kita dapat lihat tiada semangat kerjasama dalam parti BN. Budaya kawan makan kawan ni sebenarnya sudah menjadi amalan BN sejak sekian lama. Perebutan kuasa dikalangan ahli sendiri jelas menunjukkan perpecahan yang berlaku dalam BN sendiri.
"Ini juga antara bukti bahawa gabungan BN amat rapuh dan hanya bersandar kepada dasar perkauman sempit. Apabila rakyat membuka mata serta melihat skop politik yang lebih menyeluruh dalam kontek masyarakat pelbagai kaum komponen BN menjadi semakin kehilangan arah.
"Bukan sahaja di Pulau Pinang malah di negeri-negeri lain juga akan mengalami keadaan sebegini apabila masing-masing tidak lagi meyakini antara satu sama lain," jelas Dr Mansur.
Tindakan Umno yang menuntut jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang jelas menunjukkan yang mereka inginkan kuasa tanpa ada langkah kerjasama untuk merampas negeri itu.
Namun, tindakan itu jelasnya akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat yang semakin kukuh kedudukannya ketika ini. Pakatan Rakyat sentiasa bekerjasama dalam merampas pemerintahan pusat yang diterajui BN ketika ini.
Semalam, Pemuda MIC Pulau Pinang menyokong cadangan agar pengerusi BN di negeri itu diambil alih oleh Umno, bukan lagi di tangan Gerakan, dalam usaha mereka merampas negeri itu daripada Pakatan Rakyat. Tindakan ini jelas menunjukkan perpecahan dalam Umno, MIC dan MCA pulau Pinang ketika ini.