Pages

Monday, June 1, 2009

TKM 1: Dr. Mansor angkat sumpah Rabu

Anna Yusof (suara Keadilan)

BUKIT MERTAJAM, 1 Jun (SK) : Timbalan Pengerusi KeADILan Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman yang memenangi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti semalam akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri I Negeri Pulau Pinang Rabu ini.

Ia diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini malam tadi.

Beliau berkata majlis angkat sumpah tersebut akan diadakan pada sebelah pagi.

“Saya akan syorkan supaya Dr. Mansor dilantik sebagai TKM1 nanti,” katanya.

Dalam pada itu Lim turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Mansor dan beranggapan bahawa kemenangan beliau itu adalah kemenangan rakyat.

“Ini adalah kemenangan rakyat, kita akan terus bekerja untuk rakyat,” katanya.

Malah perkembangan itu turut dinyatakan oleh Penasihat Dap, Lim Kit Siang dalam laman blognya.

Mansor Othman, 59, memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti dengan majoriti 5,558 undi.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.